Sunday, February 25, 2018

Salam Perkenalan Dari Penulis Emmemarina.com

Teks: Emme Marina Mohamad


Assalamualaikum w.b.t,


Bismillahirrahmanirrahim,


Apa khabar pengunjung semua? Semoga sihat hendaknya bersama keluarga dan rakan tersayang. Alhamdulillah bertemu kita di entri ini untuk lebih saling mengenali. Nama panggilan saya, Emme. Dikenali oleh ramai rakan sebagai Emme Marina. Namun nama sebenarnya bukanlah sekadar Emme Marina semata-mata. Cewah. Macam lain sangat la kan?


Pengenalan Diri

Nama sebenar, Puteri Emme Marina binti Mohamad, dilahirkan di Hospital Alor Setar, Kedah pada tanggal 13 September 1985. Usia saya kini insha Allah 33 tahun. Hidup sebagai anak askar sudah tentu tiada tempat tinggal tetap untuk membesar dan mempunyai rakan karib, selepas dilahirkan dan dibesarkan selama setahun di negeri Kedah, kami merantau ke negeri-negeri jiran antaranya Negeri Sembilan, Sarawak, Johor dan Kuala Lumpur. Alhamdulillah, setiap negeri ni ada kelahiran lain iaitu adik-beradik comel saya yang sememangnya semakin comel pada ketika ini juga (Ooopss). Setelah menjelajah akhirnya kami menetap di Negeri Sembilan, negeri kelahiran abah. Katanya, mahu berbakti pada Tok Wan yang ketika itu merupakan satu-satunya nenek saya yang masih hidup. Hanya setahun sahaja saya menetap di N.9 dan kemudian melanjutkan pelajaran tinggi di peringkat Matrikulasi di negeri Pahang pula. Agaknya sudah suratan takdir menempatkan saya di sini, sudahnya 2003, 2004 melanjutkan Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalan bidang Kejuruteraan Kimia dan kembali semula pada tahun 2012 menyambung peringkat Sarjana di Universiti Malaysia Pahang di Fakulti Sains dan Teknologi, dan kali ini bersama keluarga sendiri pula. Ya, saya sudah berkeluarga dan memiliki 4 cahaya mata dan kesemuanya perempuan :) Malah 3 daripada anak perempuan saya dilahirkan di HTAA, Kuantan, Pahang.


Pengalaman Bekerja


Sebelum menamatkan pengajian di UMP lagi, saya dilamar oleh syarikat gergasi NEC Semiconductor Sdn. Bhd. sebagai salah seorang jurutera mereka. Walaupun saya tidak bekerja dalam industri Oil & Gas seperti rakan-rakan lain tetapi peluang pekerjaan ini tidak lari jauh dari pengkhususan kerana Kejuruteraan Kimia itu agak luas dan masih di dalam bidang yang serasi. Alhamdulillah, bekerja di NEC menemukan saya ramai rakan sekerja yang sangat positif dan suasana kerjanya sangat kondusif dan menyenangkan walaupun saya seorang sahaja jurutera Melayu di seksyen saya namun rakan sekerja dan manager memahami tuntutan kita sebagai seorang Muslim dan mereka sangat menghormati agama yang lain. Di NEC, saya bertugas sebagai Jurutera Plating dan Material. Tidak lama kemudian genap setahun di NEC, saya dilamar oleh cinta hati pula. Asyik dilamun cinta agaknya saya membuat keputusan mengikut cinta hati ke Kuching, Sarawak setelah beliau terpaksa posting ke Kuching demi kerjaya baru beliau di agensi MARA.

Berhenti kerja sememangnya tidak mudah kerana saya sudah mempunyai tanggungjawab sendiri iaitu hutang pelajaran, kereta termasuklah kad kredit, namun syukur suami masih mampu untuk menyara kehidupan kami ketika itu. Berdua di bumi Kuching kami sering rindu untuk pulang ke kampung halaman, saya ketika itu sedang mengandung anak yang pertama. Akhirnya kami membuat keputusan untuk tinggal berasingan dan saya berkerja di semenanjung Malaysia. Rezeki dari Allah, saya mendapat kerja sebagai jurutera di Kilang Plastik, Nilai, Negeri Sembilan sejurus saya tamat berpantang. Tinggal di Nilai lebih baik dan dekat dengan "airport" memudahkan saya menjemput suami dan menghantarnya. Suami saya akan pulang sebulan sekali pada waktu itu, adakalanya 2 kali sebulan. Wang gaji kami akhirnya banyak dihabiskan bagi belanja tiket penerbangan suami. Ketika ini, saya mula berfikir-fikir tentang mencari pendapatan sampingan. Saya mula menjadi dropship barangan baju muslimah.


Bermulanya Episod Berniaga sebagai Side Income


Tinggal berasingan dari suami dan jauh dari keluarga, membesarkan anak seorang diri agak mencabar dan lebih sukar apabila di tempat kerja bos-bos saya masih bujang. Jadi mereka tidak memahami kehidupan saya membesarkan anak, harus cuti separuh hari setiap bulan demi temujanji anak, datang lewat atau tidak hadir kerana anak sakit. Ini baru anak pertama, memang agak mengeluh juga saya dibuatnya dek perlian dari orang-orang atasan yang tidak memahami. Sewaktu ini, saya sudah jemu dan putus asa untuk bekerja, saya sudah berura-ura ingin berhenti kerja dan melakukan perkara lain. Pada suatu hari, saya mendapat panggilan dari seorang pensyarah dari Universiti Malaysia Pahang, saya sebenarnya pernah menghantar resume untuk menyambung semula pelajaran di  UMP, dan Alhamdulillah, Allah perkenankan doa saya. Setelah berbincang dengan suami akhirnya saya membuat keputusan untuk berhenti kerja dan menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam jurusan sains kimia. Dan lebih menggembirakan lagi, rupanya Allah telah merancang yang lebih baik buat kami sekeluarga, suami saya juga dapat bertukar kerja ke semenanjung Malaysia iaitu di Pekan, Pahang! Masya Allah, saya di Gambang dan suami di Pekan. Begitu indahnya susunan Allah buat kami. Dan di sinilah kehidupan saya sebagai SAHM ataupun "stay at home mom" bermula. 

Menjadi pelajar serta ibu tidak mudah, menguruskan kelas, pelajaran di rumah, ketika ini saya sedang mengandung anak kedua =) Dan di waktu inilah saya mula serius untuk berniaga secara online walaupun tidak mempunyai ilmu yang banyak tentang perniagaan online. Syukur juga saya dapat biasiswa daripada UMP, jadi saya masih mempunyai pendapatan bagi menyara kehidupan saya ketika itu. Buat perniagaan online tanpa ilmu adakalanya ada rezeki, tetapi kebanyakkan masa tiada untung. Walaupun pelbagai pengalaman pahit dan susah payah dalam perniagaan online, ia tidak membuatkan saya putus asa, tetapi minat untuk berniaga dan lebih mendalami ilmu itu semakin menebal. Sejak tahun 2011 saya mulakan penglibatan dalam perniagaan secara online, saya memilih untuk menjadi dropshipper kerana kelebihan tanpa modal, tidak perlu menyimpan stok apatah lagi mengepos barang. Tugasan ini agak berat bagi saya, ialah mana nak belajar lagi, urusan keluarga, belajar marketing jadi agak tunggang langgang bukan? Saya bersyukur walaupun hanya dropship dapat membantu kami sekeluarga. Ianya salah satu medium yang turut saya rekomen kepada mereka yang ingin berniaga tetapi tiada modal awal atau besar. Mulakan dengan dropship tidak bermakna anda tidak akan berjaya. Niat yang baik, pasti Allah bantu. Alhamdulillah, kini saya masih kekalkan cara yang sama cuma lebih advanced, pengalaman ditimba, malah untuk ke depan kita harus berani mengorak langkah. Sudah mula gear rendah, sudah tiba masuk gear tertinggi. Namun setiap pengalaman yang ditimba tidak harus kita lupakan. Ianya menjadi asas perniagaan kita, jati diri kita.

Berniagalah kerana 9/10 rezeki itu datang dari perniagaan. Dan setiap rezeki keberkatan datang dari niat yang betul. Semoga Allah merahmati setiap perjuangan kita menjemput rezeki di dunia ini. Aamin


Akademi Bekerja di Rumah dan Blog Marketing


ABDR adalah platform belajar blog dengan lebih mendalam. Anda tidak membuat blog sahaja-sahaja untuk menceritakan kisah kehidupan anda. Di ABDR setiap penulisan adalah penulisan yang bermakna, tidak kiralah sama ada ianya berbentuk ilmiah atau motivasi. Pastinya ia memberi suatu nilai kepada masyarakat bukan sekadar mencoret sebuah kisah tentang diari kehidupan semata-mata.

Jika kalian ingin jadikan blog sebagai pendapatan kalian, maka di sinilah tempatnya.

Sudah masuk 3 tahun rupanya saya menjadi pelajar ABDR, alumni la ni. Alhamdulillah, ini bukan kisah dongeng kerana sejak mengikuti kelas blog di ABDR 100% perniagaan saya di atas talian datangnya dari blog. Saya sudah tidak berniaga secara aktif di medium facebook, malah akaun baru facebook dibuat tahun 2017 begitu juga instagram. Saya bersyukur bertemu dengan Akademi Bekerja di Rumah, ia memberikan saya banyak peluang untuk membina diri sebagai surirumah dan peniaga pada masa yang sama. Malah yang terbaik dari ABDR, anda bukan sahaja belajar kelas blog semata-mata banyak ebook yang diberikan secara percuma itu sangat bermakna. Rugi anda tidak gunakan dan manfaat setiap tips yang diberikan. Malahan, pada tahun 2018 saya sudah mula memulakan perniagaan sendiri iaitu mengambil servis Upah Buat Kedai Blog dan SEO dengan kadar yang sangat berpatutan. Namun nasihat saya, jika kalian mampu dan mahu maju di dunia perniagaan online mengambil kelas Blog Bisnes adalah yang terbaik.


Kenapa saya kata begitu?


Kerana sejak belajar ilmu blog di ABDR, saya telah mempunyai 3 laman blog utama bagi perniagaan saya iaitu www.dms360original.com, www.emmemarina.com dan www.jamtangansolat.blogspot.com. Bukan itu sahaja, setiap stokis dms juga saya siapkan blog khas untuk mereka gunakan bagi memaksimakan pendaptan melalui blog. Juga dengan ilmu yang kita ada, kita dapat membuat amal dengan berkongsi kelebihan mempunyai blog atau website ini. Alhamdulillah, website NGO Amal Till Jannah juga diuruskan oleh saya sendiri dengan bantuan rakan-rakan jemaah ATJ :) Boleh layari www.amaltilljannah.com untuk lihat hasil kerja team kami di sini. Tidak lupa, boleh layari www.elishomestaybatukikir.blogspot.com iaitu blog kedai pertama saya bagi Januari 2018. Selain upah kedai blog, saya juga sediakan copy writing dan free domain forwarding serta SSL certificate. Insha Allah sangat berpatutan bagi mereka yang inginkan sebuah blog kedai untuk carian google. Nak tahu lebih lanjut mengenai servis Upah Kedai Blog boleh layari entri di >> SINI <<.





Sekian, coretan ringkas mengenai diri saya serta matlamat saya di dalam kelas ABDR. Jika ada sebarang pertanyaan apa sahaja tentang berniaga, atau apa yang anda nak tahu dari informasi blog saya ini, boleh hubungi saya di 018-9100 852 (Emme).
NEXT ARTICLE Next Post
PREVIOUS ARTICLE Previous Post
NEXT ARTICLE Next Post
PREVIOUS ARTICLE Previous Post
 

Delivered by FeedBurner