Dilema Seorang WAHM. Bekerja atau Sebaliknya?

Sejak dua hari ni. Saya banyak termenung memikirkan masa depan saya. Saya masih lagi belum tamat sesi pembelajaran di UMP. Ada rakan-rakan yang sudah mensasarkan "next action" selepas tamat graduasi. Jika di peringkat sarjana, mahu sambung ke peringkat yang lebih tinggi, iaitu PHD. Tapi secara jujurnya, saya sudah penat berulang-alik menimba ilmu-ilmu baru. Soalan yang sering saya fikirkan,


"nak kerja apa kalau peringkat pengajian master?"
"Swasta confirm nak degree sahaja"
"Dah master orang suruh amik phD pulak"


Kadang kala encik suami juga berikan hint untuk bekerja semula. Saya faham. Kami sudah miliki 3 orang anak, 2 buah kereta dan rumah sendiri, kewangan kami memerlukan agar kedua orang dewasa dalam rumah ini bekerja dan menyara seisi keluarga.


Duit yuran sekolah kakak lagi.
Bil-bil tertunggak.
Pinjaman PTPTN.
Duit bulanan kereta.


Saya sebenarnya sudah mula sukakan kehidupan sebagai boss sendiri. Kita menguruskan waktu di rumah, walaupun saya sendiri lintang pukang menyiapkan tugasan harian. Tapi pengalaman saya sebelum ini, bila anda kerja swasta suasana tuntutan kerja adalah lebih kritikal. Bukan mudah nak dapatkan cuti walaupun anak sakit, temujanji klinik, atau diri sendiri yang sakit. Masing-masing akan mula mengeluarkan pendapat tersendiri tentang tanggungjawab kerja, lagi-lagi saya jenis yang bukan suka ambil O.T. Mulalah boss beri hint yang saya seorang sahaja balik on time sedangkan rakan kerja saya yang lain masih melakukan kerja mereka. Entahlah, kadangkala saya pelik. Yang sudah berkahwin tidak nampak seperti mahu pulang, bagaimana makan minum anak dan suami? Tidak rindu pada anakkah?


Bagi saya memadailah pengalaman sebagai jurutera semasa anak sulong saya, setiap bulan harus ambil cuti separuh hari demi temujanji anak. Cuti tanpa gaji apabila anak sakit. Pulang awal kerana ingin mengambil anak dari rumah pengasuh pula. Kebetulan, boss saya ketika itu, kedua-duanya belum berkahwin begitu juga rakan kerja yang lain. Tiada masalah komitmen selain kerja. Walaupun ketika ini saya duduk berjauhan dengan suami tetapi suami sering mengingatkan saya tentang tanggungjawab saya terhadap anak. Jangan terlalu mengutamakan kerja, pulang lewat sehingga anak lebih masa dengan pengasuh.


Begitu juga semasa sedang belajar, saya mendapat supervisor yang tegas dan sering pulang lewat kerana tugasan lab dan meeting. Akibatnya saya sering stress kerana mahu mengekalkan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Pulang ke rumah sudah lewat sehingga jam 6 petang adakalanya sampai ke 7 petang. Bersilat pula di dapur menyiapkan makan malam. Akhirnya keletihan tanpa meluangkan banyak masa bersama anak dan suami. Keadaan ini menyebabkan saya jarang berkomunikasi dengan suami, bertambah lagi saya mengandungkan anak kedua, emosi saya kurang stabil dan sering naik marah.


Atas sebab-sebab inilah saya jadi kurang suka apabila bekerja di bawah orang lain. Mereka dengan pemahaman mereka sedangkan kita sedang melalui satu fasa yang berlainan. Tugasan sebagai ibu dan isteri serta keperluan dan kehendak mereka sebenarnya meletakkan saya di rumah adalah lebih baik. Jiwa saya juga tenang. Saya berharap agar saya dapat belajar untuk jadi lebih fokus dalam kerjaya baru saya sebagai WAHM. Soal rezeki saya percaya Allah telah aturkan yang baik-baik untuk saya dan keluarga. Apa yang saya perlu lakukan ialah mengikut apa yang telah saya pelajari semasa sesi kelas bersama akademi, semak hubungan dengan Allah setiap hari, melakukan perkara yang disukai Allah. Semoga saya dapat beristiqamah dalam menjalani kehidupan baru bersama-sama rakan-rakan WAHM yang lain.


Buatlah sesuatu yang anda suka, jadikan ia sebagai matlamat hidup. Capai sesuatu yang belum pernah anda capai. Dan berbahagialah atas perkara-perkara kecil. Kerana semuanya amat bernilai. Dan keluarga anda adalah harta yang paling indah dan termahal.



Catatan WAHM
Emme Marina
9 Ogos 2015

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Menjadi seorang WAHM ni memang mencabar kan. Kita perlukan sumber kewangan yang mantap baru la dapat berlega menjadi seorang WAHM. Saya juga menyimpan impian untuk menjadi WAHM. Moga saya dapat gandakan usaha untuk menjadi seorang WAHM yang berjaya.

    BalasPadam
    Balasan
    1. In shaa Allah sis. Sebenarnya ramai sudah menjadi surirumah terutama selepas perkahwinan. Tidak semestinya kita harus ada kewangan yang kukuh barulah kita berhenti kerja. Cuma apabila kita sudah bermula dengan pekerjaan biasanya tanggungjawab lain sudah kita pikul dahulu. Itu yang menyebabkan sedikit bebanan pada bahu, jika kita sudah bermula sebagai surirumah, saya yakin kita tiada komitmen lain seperti hutang kereta persendirian, kredit atau sebagainya. Sekarang ni, zaman internet banyak perniagaan yang boleh kita ceburi tanpa modal, iaitu melalui dropship juga pelbagai perniagaan lain yang modalnya kurang dari RM 200. Seelok-eloknya jauhi dari meminjam demi perniagaan. Semoga kita semua diberikan kekuatan luar biasa hendaknya.

      Padam