15 Sebab Ibu Memang Seorang 'Supermama'

Teks: Emme Marina Mohamad
Sumber Oleh: HASNITA PaMa
Tarikh: 8 Oktober 2015 



Saya terbaca satu artikel di Majalah PA&MA dan sangat bersetuju dengan fakta-fakta yang telah dikeluarkan. Setelah memiliki 3 cahaya mata, tiada apa yang lebih bermakna daripada menjadi seorang ibu. Walaupun pernah satu ketika saya berkata kepada ibu saya, "mak, Emme tidak mahu berkahwin dan miliki anak-anak". Saya akui saya bukanlah antara wanita-wanita yang menyukai kanak-kanak, adakalanya mereka nakal, tidak mendengar kata dan paling tidak saya gemari ialah tangisan yang super kuat. Tersenyum lebar saya tatkala menaip kata-kata ini.

Kini, pada usia 30 tahun dan mempunyai 3 orang puteri, sah-sah penuh dengan tangisan, drama, dan juga aksi licik. Trust me! Anak perempuan ternyata sangat manja tetapi penuh dengan helah tidak dinafikan juga kuat membebel! Mari saya kongsikan artikel oleh Hasnita 15 Sebab Ibu Memang Seorang 'Supermama'. Selamat Membaca =)
 
Seorang ibu sanggup melakukan apa sahaja demi keselesaan dan keselamatan anaknya. Pendek kata bila seorang wanita itu bergelar ibu, dia sanggup buat apa sahaja demi anak tersayang. Berikut antara beberapa perkara yang sanggup dilakukan oleh kebanyakan yang bergelar ibu sehingga layak digelar 'Supermama'.


1. Ibu sanggup makan makanan anak yang panas semata-mata hendak memastikan mulut anak tidak melecur.


2. Ibu sanggup basah dalam hujan demi memastikan anak dilindungi daripada kebasahan dan tidak jatuh sakit.


3. Ibu sanggup menyedut hingus bayi untuk memastikan si kecil dapat bernafas dengan lega. (Mula-mula terbeliak mata saya semasa mak mertua beritahu saya tentang hal ini, eeewww, takkanlah! Tetapi, bila anak sulung saya terkena selesema terus saya sedut. Jangan risau, encik suamilah pakar dalam menyuruh anda lakukannya!)


4. Ibu sanggup menadah dua tangannya untuk membolehkan anak yang tidak sihat muntah tanpa perlu ke bilik air.


5. Ibu sanggup berjaga malam demi memastikan anak yang demam cepat turun suhu badannya.(Saya yakin ramai ibu-ibu yang pasti tidak tidur lena apabila anak yang dipeluknya panas, beberapa kali kami bermalam di hospital kerana risaukan keadaan anak walaupun baru 1 hari demam, jangan buat main-main dengan demam ini ya)


6. Ibu sanggup tidak tidur malam demi memastikan bayi baharu lahirnya menyusu dengan kerap supaya jaundis cepat hilang.(Setuju!)


7. Ibu sanggup memberikan biskut coklat kegemarannya yang terakhir kepada anak jika si anak merengek mahukannya.


8. Ibu tidak kisah kainnya dibasahi najis dan air kencing bayi comelnya beberapa kali kerana merasakan ia pengalaman paling manis menjadi ibu.


9. Ibu sanggup menghisap ayam sambal yang pedas demi memastikan anak dapat menikmati lauk ayam tanpa merasa kepedasan.(Hehe, anak saya langsung tidak tahan pedas. Abis semua mama dan papa menghisapnya, kadang-kadang saya merasakan diri seperti ibu burung yang sedang memberi makan kepada anak-anaknya)


10. Ibu tidak kisah mengenepikan keinginannya untuk membeli kasut baharu demi membeli kasut untuk anak tersayang.


11. Ibu sanggup bersengkang mata bangun tengah malam demi menyiapkan keperluan anak-anak ke rumah pengasuh, taska dan sekolah.


12. Ibu tidak pernah bising membasuh pakaian anak yang banyak dalam sehari kerana tahu ia bermakna anaknya sihat dan aktif.


13. Ibu sanggup mengenepikan sakit kepala yang dialami demi memastikan anaknya dapat makan malam dengan teratur.


14. Ibu sanggup beratur panjang dalam jualan gudang demi memastikan dia boleh membeli keperluan barangan anak yang bakal dilahirkan dalam harga yang paling murah.


15. Ibu memang suka membebel dan berleter tetapi jauh di sudut hati seorang ibu, kasih sayang kepada anaknya tiada sempadan. Sanggup berpenat, berpeluh, letih dan sakit untuk memastikan anak-anak membesar sihat dan cerdas.(Hampir menitis air mata, tiada yang lebih kasih dan sayangnya buat anak-anak, semoga mereka membesar dengan penuh sihat, berhati mulia dan paling penting menyayangi dan menghormati kita sebagai ibu dan bapa mereka).

Saya harap artikel ini dapat membantu para-para bakal ibu di luar sana termasuklah ibu-ibu sedia ada. Mengenang kembali zaman kita semasa anak-anak masih kecil bukan? Bila semakin besar, lain pula keletahnya. Saya suka jadi ibu. Saya sayang ibu saya. Sayang juga buat semua wanita yang menjaga anak serta menyayangi anak-anak tanpa sempadan.

Awas! sayang tapi jangan buta =)

Catat Ulasan

0 Ulasan