Saturday, December 16, 2017

Bayi Kembar Untuk Dijual RM 15,000

Kesedaran Buang Bayi Perlu Dipertingkatkan Kerajaan

KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu melipat gandakan usaha dan kempen kesedaran berkaitan gejala pembuangan bayi menerusi pelbagai platform termasuk media sosial.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Shahanim Mohamad Yusoff berkata, kementerian berkenaan melalui media sosial juga perlu dekat dengan capaian pasangan muda dalam mengelakkan kes seperti ini terus berulang dan menjadi budaya negatif.

"Saya terpanggil untuk memberi reaksi berikutan kes penahanan pasangan muda warga tempatan yang dipercayai cuba menjual bayi kembar mereka menerusi sistem online.

"Ini agak memeranjatkan dan menggemparkan negara kerana bagi saya, kes ini menunjukkan pasangan muda sama ada yang bukan muhrim atau muhrim, masih belum diberi kesedaran dan pendidikan secukupnya sehingga tergamak cuba menjual bayi secara online.

"Kes ini tidak seharusnya berlaku jika mana-mana pasangan mahupun individu tahu cara untuk menyelesaikannya menerusi jalan dan cara yang betul," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas isu penahanan pasangan kekasih yang cuba menjual bayi kembar mereka di dalam talian dengan harga RM15,000 semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim berkata, suspek wanita berusia 20 tahun ditahan di rumahnya di Setapak pada 8 malaM.

Kata Shahanim, pasangan yang terlanjur atau belum bersedia untuk menjaga bayi, seharusnya tidak membuang atau sewenang-wenangnya menjual bayi itu.

"Sebaliknya bayi itu perlu diserahkan kepada pihak berkuasa dan berwajib seperti hospital dan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk dijaga dengan rapi dan lebih baik.

"Perbuatan menjual bayi mahupun membuang bayi adalah satu kesalahan berat di sisi undang-undanG.

"Malah, secara tidak langsung, ia membawa kepada pemerdagangan manusia yang menjadi jenayah merentasi sempadan benua Asia dan antarabangsa sekali gus memburukkan nama Malaysia," tegasnya.

Sebelum ini, portal berita tempatan melaporkan aktivis sosial Syed Azmi Alhabshi menerima aduan mengenai pengiklanan penjualan bayi kembar daripada seorang wanita berusia 20 tahun.

Bayi kembar itu dijual pada harga RM15,000 dan ia turut disertakan sekali keterangan gambar bertulis ‘twins to let her go’.

Susulan daripada aduan itu, Syed Azmi menghubungi pengendali portal iklan berkenaan dan menurunkan iklan tersebut.

Kesedaran buang bayi perlu dipertingkatkan kerajaan - Nasional - Sinar Harian

http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/kesedaran-buang-bayi-perlu-dipertingkatkan-kerajaan-1.770015#.WjEwJiBhcvU.whatsapp

@muslimahcircle🕊


No comments:

Post a Comment