Mahir NADI Intake 4: Tiga Kelas, Tiga Kemahiran Baharu


Tahun ini saya berpeluang menyertai tiga kelas Mahir NADI Intake 4, iaitu Mahir Masak, Mahir Foto dan Mahir Tani. Kelas berlangsung dari Julai hingga Disember, kebetulan pada waktu yang sama saya sedang sibuk dengan komitmen sebagai wakil YUM untuk Totiq 5.

Memang penuh jadual, tetapi saya seronok kerana dapat belajar perkara baharu di luar rutin kerja.

Mahir Masak

Kelas Mahir Masak berlangsung setiap Khamis pagi, jam 9.30 hingga 11.00 pagi. Saya belajar melalui resepi, live cikgu masak dan perkongsian daripada kawan-kawan kelas.

Kemudian, saya cuba buat sendiri di rumah.

Antara hasil yang berjaya dibuat ialah kek coklat, muffin vanilla dan biskut suji atau biskut Arab. Saya juga mula membeli beberapa perkakas bakeri seperti alas, loyang kek boleh buka dan penimbang.

Banyak lagi resepi yang boleh dicuba, tetapi saya kena pilih juga nak masak apa. Huhu.

Mahir Foto

Kelas Mahir Foto pula pada Khamis petang, jam 3.00 hingga 4.30 petang.

Antara tugasan yang saya belajar ialah teknik mengambil gambar secara flat lay. Menarik juga bila mula belajar susunan objek dan sudut gambar. Rupanya makanan yang biasa kita hidang pun boleh nampak lebih menarik apabila diambil dengan teknik yang betul.

Kemahiran ini memang bermanfaat untuk saya yang suka menulis blog dan menghasilkan kandungan.

Mahir Tani

Kelas Mahir Tani berlangsung pada Jumaat petang. Saya mula mengemas mini kebun, mengemas laman dan menanam semula beberapa pokok.

Saya juga mencuba kaedah hidroponik menggunakan LECA ball untuk pokok yang dibeli di pasar. Selain itu, saya belajar menggunakan baja dan cuba konsisten dengan rutin penjagaan secara mingguan.

Harapan saya kali ini, pokok-pokok buah yang ditanam dapat berbuah dengan jayanya. Itu antara impian kecil saya buat masa ini.

Tugasan dan komitmen kelas

Setiap kali kelas, kami perlu mengisi kehadiran dan menghantar screenshot gambar kelas kepada pihak NADI tempat saya mendaftar. Kehadiran sebanyak 85% diperlukan untuk mendapatkan sijil.

Setakat ini, tugasan Mahir Foto sudah saya hantar. Mahir Tani masih belum, manakala Mahir Masak saya masih kurang yakin, terutama bahagian dekorasi.

Insya-Allah, saya cuba lagi nanti. Belajar pun perlukan latihan, bukan terus pandai sekali buat.

You vs You

Semoga kelas Mahir NADI ini memberikan saya banyak ilmu yang boleh dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Saya juga berdoa agar dapat menyiapkan semua tugasan dan menghabiskan kelas ini dengan cemerlang.

Bagi saya, perjalanan ini bukan tentang siapa yang lebih pandai atau siapa yang lebih cepat berjaya. Tetapi tentang diri sendiri yang sentiasa berusaha untuk menjadi lebih baik daripada semalam.

You vs You.

Aamiin.

Catat Ulasan

0 Ulasan