Tips Mendidik Anak-anak: Berikan Anak Jala, Bukan Ikan

Berikan Anak Jala, Bukan Ikan.
==========================

Seorang pemuda yang tidak bekerja. Hidup seorang diri dan sangat malas berusaha untuk memajukan dirinya. Setiap hari dia akan datang ke rumah kawannya untuk meminta ikan.

Kawannya seorang nelayan, setiap hari ke laut mendapat hasil tangkapan ikan yang sangat banyak. Pemuda tersebut ke sana mengharapkan lebihan ikan yang tidak di jual.

Lama kelamaan kawannya berasa tindakannya memberi ikan kepada pemuda itu adalah sesuatu yang tidak patut di teruskan. Dia mencari idea untuk membetulkan keadaan.

SAYA MAHU IKAN, BUKAN JALA.
-----------------------------------------

Satu hari, seperti biasa pemuda itu datang mahu meminta ikan. Kawannya menyatakan bahawa dia tidak sihat, dan mungkin tidak ke laut beberapa hari. Dia lalu memberi jala kepada pemuda itu.

Pemuda tersebut terdiam dan kebingungan. Di dalam hatinya dia tertanya mengapa kawannya memberikan jala. Dia mahukan ikan, bukan jala. Dia terus pulang dengan rasa hairan.

Selepas dua hari dia terputus bekalan ikan, dia pening memikirkan bagaimana mahu mendapat ikan. Akhirnya dia teringatkan jala pemberian kawannya dan pergi ke sungai dan belajar untuk menjala ikan.

KEMAHIRAN UNTUK HIDUP
-----------------------------------

Sekarang barulah dia faham, mengapa kawannya memberikan jala tersebut kepadanya. Dengan menggunakan jala tersebut, dia dapat belajar ilmu dan  kemahiran menangkap ikan.

Dia sudah mahir menangkap ikan dan dia sangat berterima kasih kepada kawannya kerana menyedarkannya tentang betapa pentingnya kita menggunakan ilmu dan kemahiran untuk hidup.

Pertolongan manusia bersifat sementara dan ada hadnya. Namun ilmu dan kemahiran yang kita ada dapat digunakan sehingga bila-bila asal sahaja kita rajin berusaha.

BUDAYA MEMINTA
------------------------

" Mama, saya belum siapkan latihan yang cikgu beri. Latihannya banyak dan susah. Boleh mama berikan jawapan nya?".

Pernahkah kita sebagai ibu bapa menghadapi situasi anak  yang sering mahukan jawapan tanpa berusaha mencari serta bertanya penyelesaian ?

Untuk anak-anak yang kecil pula, kita galakkan mereka bermain dan beraktiviti. Namun ketika mereka berhadapan dengan cabaran, mereka merengek dan menangis, kita segera menyelesaikan masalah mereka kerana mahu mendiamkan mereka.

Apabila kita membiasakan situasi memberi jawapan, dan menyelesaikan terus kesukaran yang mereka hadapi, tetapi tidak menunjukkan bagaimana  penyesaiannya, kita sebenarnya mendidik mereka supaya kurang berfikir serta tidak menggalakkan mereka memaksimumkan potensi dan kemahiran diri.

Budaya hanya meminta jawapan bagi anak-anak yang bersekolah, mungkin dapat menyelamatkan mereka dari di marahi guru, namun ia tidak dapat menyelamatkan mereka ketika menjawab soalan peperiksaan dan apabila mereka berhadapan lagi dengan cabaran yang sama.

Bagi anak-anak yang belum bersekolah pula, jika mereka sudah biasa menerima bantuan ketika menghadapi cabaran dan kesukaran, mereka kurang berdikari serta tidak yakin dengan kemampuan mereka.

KUASAI ILMU DAN KEMAHIRAN.
----------------------------------------

Justeru dengan menguasai ilmu dan kemahiran sahaja yang membolehkan kita memahami sekaligus mahir untuk menyelesaikan setiap persoalan yang berkait dengan ilmu, cabaran dan kesukaran.

Samalah seperti kisah tadi, dengan memberikan pemuda itu ikan, dia akan kenyang untuk satu hari. Namun dengan memberikan pemuda itu jala, maka dia mampu menyara dirinya sampai bila-bila.

Hari ini ubahlah diri dan persepsi anak-anak daripada menanamkan budaya meminta kepada budaya berusaha. Galakkan mereka berdikari. Kuasai sesuatu ilmu dan kemahiran sehingga akhirnya ia  dapat di guna pakai di dalam kehidupan.

Credit to ohsemmama.com


Catat Ulasan

0 Ulasan