Kempen Kurangkan Gula

Dianjurkan oleh 
Kementerian Kesihatan Malaysia






Berdasarkan Kajian Pengambilan Makanan di Kalangan Orang Dewasa Malaysia 2002/2003, memang menjadi kebiasaaan kepada orang dewasa di Malaysia menambah 7 sudu teh sehari (51g) iaitu 4 sudu teh (21g) gula pasir dan 3 sudu teh (30g) susu pekat manis ke dalam minuman mereka. Jumlah gula yang ditambah ke dalam minuman ini telah melebihi saranan Petubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Panduan Diet Malaysia yang mencadangkan pengambilan jumlah gula sehari tidak melebihi daripada 50g.



Pengambilan gula yang berlebihan boleh mengakibatkan pengambilan tenaga yang berlebihan. Dalam jangka masa yang panjang, ia boleh meningkatkan berat badan dan menyebabkan obesiti. Keadaan ini akan menjadi lebih serius sekiranya diet harian adalah tinggi lemak dan kurangnya aktiviti fizikal yang dilakukan.



Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (National Health and Morbidity Survey, NHMS) III, 2006 mendapati 29.1% orang dewasa di Malaysia berlebihan berat badan manakala 14.0% pula obes. Ini telah menunjukkan peningkatan berbanding dengan NHMS II, 1996 iaitu masing-masing 16.0% (berlebihan berat badan) dan 4.0% (obes).



Obesiti dan berlebihan berat badan meningkatkan risiko mendapat pelbagai jenis penyakit kronik seperti diabetes dalam kalangan penduduk yang berumur lebih dari 30 tahun telah meningkat daripada 8.3% pada tahun 1996 (NHMS II) kepada 14.9% pada tahun 2006 (NHMS III).



Gula juga boleh dikaitkan dengan pembentukkan karies gigi (dental caries). Data dari Kementerian Kesihatan menunjukkan kadar karies gigi di kalangan kanak-kanak berumur 5 tahun adalah 76.5% (2005) dan 80.9% dalam kalangan kanak-kanak yang berumur 6 tahun (1997).



"Dengan pengambilan 7 sudu teh gula sehari, jika gula itu gagal dibakar oleh tubuh, ia akan ditukarkan menjadi 20g lemak. Jika pengumpulan lemak ini berterusan selama setahun, sebanyak 7.3 kg lemak berlebihan akan terkumpul dalam badan! Cubalah bayangkan keadaaan kesihatan kita akibat daripada pengumpulan lemak yang banyak ini!" - Dato' Sri Liow





1 sudu teh gula membekalkan 20 kilokalori. Untuk membakar 140 kilokalori yang diperolehi daripada 7 sudu teh gula tambahan, seseorang itu perlu berjoging atau berjalan menaiki bukit selama 20 minit, senamrobik selama 30 minit, berbasikal selama 40 minit atau melakukan kerja-kerja rumah yang biasa seperti menyapu sampah, membasuh, memasak dan mengemas selama 1 jam.



Sekiranya seseorang itu mengurangkan pengambilan gula tambahan kepada 3 sudu teh gula sehari iaitu 1 sudu teh gula bagi 3 cawan minuman bergula yang diambil dalam sehari, beliau dapat mengelakkan penambahan tenaga sebanyak 80 kilokalori sehari, 560 kilokalori seminggu atau 2240 kilokalori sebulan. Oleh itu, beliau dapat mengelakkan penambahan lemak sebanyak 300g sebulan, atau 600g dalam tempoh dua bulan atau 3.6kg dalam tempoh setahun.



Selain daripada menjaga kesihatan, pengurangan penggunaan gula juga membantu menjimatkan perbelanjaan harian. Berat satu sudu teh gula bersamaan dengan 5g. Harga 1kg gula pula adalah RM 1.65. Ini bermakna harga bagi 1 sudu teh gula adalah 0.8 sen atau satu sen.



Sekiranya seorang pengendali makanan yang biasa menyediakan minuman menggunakan gula tambahan sebanyak 4 sudu teh bagi setiap cawan mengurangkan kepada 1 sudu teh, beliau dapat menjimatkan perbelanjaan sebanyak 3 sen bagi setiap cawan minuman yang disediakan. Sekiranya beliau menyediakan minuman bergula kepada 500 pelanggan dalan sehari, beliau boleh menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM 15 (3 sen x 500 cawan) sehari, atau RM450 (RM 15 x 30 hari) sebulan, dan RM 5,400 (RM 450 x 12 bulan) setahun!



Dalam usaha menggalakkan rakyat mengurangkan pengambilan gula, Kementerian Kesihatan telah menjalankan beberapa inisiatif bagi mendidik rakyat. Ini termasuk Kempen Cara Hidup Sihat yang bermula pada tahun 1991. Kempen ini diterus dan diperkukuhkan sehingga kini melalui pelaksanaan Promosi Makan Secara Sihat (Healthy Eating Promotion).



Pada tahun 1998, Kempen Kurangkan Gula telah dijalankan secara intensif. Pelbagai aktiviti telah dijalankan. Ini termasuk kempen yang disasarkan kepada gerai makanan dengan menggunakan slogan "1 Mencukupi, Kurang Lebih Baik", rundingan dengan hotel, restoran, kantin, kedai kopi, pemegang francais dan katerer, serta penyebaran mesej kurangkan gula melalui risalah, poster dan iklan televisyen.



Tambahan, perundingan dengan industri makanan turut dijalankan. Melalui perundingan ini, industri makanan telah bersetuju untuk mengurangkan kandungan gula dalam produk makanan dan minuman yang mereka keluarkan. Hasilnya, pada hari ini, didapati semakin banyak produk yang kurang kandungan gula boleh didapati di dalam pasaran. Usaha ini diteruskan bagi memastikan pengeluaran produk sebegini dipertingkatkan lagi.



Seiring dengan usaha ini, pelabelan makanan "rendah gula" (low sugar) dan "bebas gula" (sugar free) telah dibenarkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Mengikut Peraturan-Peraturan ini, makanan "rendah gula" adalah makanan yang mengandungi gula tidak melebihi 5g per 100g atau 2.5g per 100ml. Makanan "bebas gula" pula adalah makanan yang mengandungi gula tidak melebihi 0.5g per 100g atau 100ml. Peraturan-Peraturan Makanan 1985 juga mewajibkan pelabelan kandungan gula dalam minuman sedia diminum.



Pada tahun 2007, kempen media yang menumpukan kepada promosi makan secara sihat yang dikenali sebagai "5M" telah dijalankan." Mengurangkan Gula" merupakan salah satu mesej yang disampaikan dalam kempen ini. Usaha lain yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan termasuk menjalankan aktiviti pendidikan melalui media massa dan melalui beberapa setting seperti pusat maklumat pemakanan dan dapur sihat masyarakat yang terdapat di hampir semua negeri.



Usaha juga dilakukan bagi mendidik kanak-kanak sekolah melalui program dan aktiviti yang dijalankan bersama Kementerian Pelajaran Malaysia termasuk melalui mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Mesej bagi mengurangkan pengambilan gula juga merupakan salah satu komponen utama di dalam Panduan Diet Malaysia.



Di samping itu, perkhidmatan rundingan cara pemakanan juga disediakan di klinik-klinik kesihatan bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran masyarakat tentang amalan makan secara sihat, termasuk mengurangkan pengambilan gula. Perkhidmatan terus kepada rakyat ini diberikan oleh Pegawai Zat Makanan. Sehingga Mac 2010, 51 jawatan Pegawai Zat telah diwujudkan di klinik-klinik kesihatan untuk tujuan ini.



Perkhidmatan ini akan diperkukuhkan dengan menetapkan Pegawai Zat Makanan di semua klinik kesihatan. Kempen Kurangkan Gula 2010 merupakan usaha berterusan kerajaan untuk mendidik rakyat tentang kesan pengambilan gula yang berlebihan. Dalam masa yang sama, kempen ini bertujuan menggalakkan pengendali makanan dan industri makanan menyediakan makanan dan minuman yang rendah kandungan gula kepada pengguna. Ini penting bagi menyediakan persekitaran yang menggalakkan rakyat mempraktikkan amalan makan secara sihat.



Tujuan jangka panjang kempen ini adalah untuk melahirkan rakyat yang sihat dan sejahtera, supaya dapat menyumbang secara berkesan kepada pembangunan negara.



Pesanan Kementerian Kesihatan Malaysia
1) Makan makanan rendah kandungan gula.
a.    Pilih atau sediakan kuih dan kek yang rendah kandungan gula.
b.    Gantikan manisan pencuci mulut seperti kuih dan kek dengan pilihan yang lebih sihat seperti buah-buahan.
c.    Kurangkan kekerapan mengambil makanan yang bergula.
d.    Elakkan mengambil makanan yang bergula di antara waktu makan utama dan sebelum tidur.
e.    Semak kandungan gula pada senarai ramuan sesuatu produk makanan. Sekiranya gula tersenarai di bahagian awal senarai ramuan, ini menunjukkan gula merupakan komponen utama makanan tersebut.




2) Minum minuman yang rendah kandungan gula.
a.    Minumlah air kosong berbanding minuman manis seperti air berkarbonat atau air sirap dan kordial.
b.    Hadkan pengambilan gula atau susu pekat manis atau susu isian pekat manis kepada 1 sudu teh sahaja untuk setiap cawan minuman.
c.    Minta untuk kurangkan gula atau susu pekat manis atau susu isian pekat manis semasa memesan minuman.
d.    Periksa kandungan gula dalam label minuman. Pilih produk berlabel "rendah gula" dan "bebas gula".
e.    Kurangkan kekerapan mengambil minuman yang bergula seperti air berkarbonat, kordial, cendol dan air batu campur (ABC).
f.    Elak mengambil minuman yang bergula di antara hidangan utama dan sebelum tidur.



(Sumber Panduan Diet Malaysia 2010) 

Catat Ulasan

0 Ulasan