Kucing : Panduan Lengkap Bela Kucing Bagi Pemula, Pencinta Meow Jom Baca Sini

Kucing adalah salah satu haiwan peliharaan yang sangat comel, pasti anda semua sukakan melihat gambar mereka kan? Haiwan comel ini mempunyai telatah yang lucu dan ada ketika kita merasa pilu dan sayu. Disebabkan inilah ia  menjadi pilihan ramai sebagai haiwan peliharaan di samping ianya juga merupakan haiwan kesayangan Nabi Muhammad SAW.
 


Oleh sebab itu, untuk artikel kali ini, saya akan kongsikan beberapa input penting untuk anda yang nak memulakan perjalanan sebagai ibu/bapa si kucing comel ini. Ya! Anda memerlukan panduan ini kerana banyak perkara perlu dipertimbangkan dari segi keperluan asas sehinggala komitmen anda sepenuhnya apabila mereka jatuh sakit.

Pendahuluan: Panduan Mula Bela Kucing Comel


Bukan sekadar haiwan peliharaan; mereka lebih daripada itu, mereka adalah sahabat yang setia yang akan menjadi sebahagian daripada kehidupan anda. 

Langkah 1: Pertimbangkan Kewajipan Anda


Sebelum membela kucing, pertimbangkan dengan teliti kewajipan dan komitmen yang diperlukan. Kucing adalah makhluk yang memerlukan masa, perhatian, dan kasih sayang. Jangka hayat hidup kucing juga lama iaitu 15 hingga 20 tahun atau lebih, jadi ini adalah komitmen jangka panjang.

Jika anda mempunyai anak kecil, anda harus pertimbangkan kesihatan anak, alergic, jangkitan yang mungkin boleh dijangkitkan kepada anak-anak anda. Jika anak anda ada masalah resdung dan asma, perlu pantau supaya ianya tidak menjadi asbab kepada bertambah kronik

Langkah 2: Memilih Baka Kucing yang Sesuai


Pertimbangkan jenis-jenis kucing yang sesuai untuk anda. Adakah anda ingin kucing yang berbulu pendek, panjang, ras tertentu, atau kampung? Adakah anda ingin kucing dewasa atau anak kucing? Pilih kucing yang sesuai dengan gaya hidup dan keperluan anda.

Juga sila pertimbangkan, apakah jenis panjang dan pendek bulu ini akan menambah komitmen anda menjaga kebersihan?

Jenis-Jenis & Baka Kucing Yang Menjadi Pilihan Ramai
  • Kucing Parsi
  • Kucing Siam
  • Kucing Hutan
  • Kucing Bengal
  • Kucing maine coon
  • Kucing Kaki Pendek
  • Kucing British Shorthair
  • Kucing Munchkin
  • Kucing Kampung

Dah semangat ni, alahai kucingnya tiada? Ada beberapa cara untuk mendapatkan binatang peliharaan anda. Secara percuma atau pembelian, sertai group pencinta kucing! Ya, di situlah di mana anda boleh mendapatkan kucing, sama ada anak kucing ataupun sudah dewasa, atau anda juga boleh menjadi ibu/bapa kucing di jalanan. Mereka juga perlukan kasih sayang kan?

Langkah 3: Sediakan Peralatan Asas


Sebelum membawa kucing comel ini pulang, sediakan peralatan asas seperti tempat tidur (anda boleh sediakan rumah atau sangkar kucing atau buat rumah kucing sendiri), mangkuk makanan dan air, pasir kucing, dan mainan. Pastikan rumah anda selamat dan bebas dari bahan berbahaya.

Langkah 4: Dapatkan Makanan Kucing Terbaik

Seperti manusia, kucing juga memerlukan makanan yang baik. Ini bagi bagi memastikan kucing anda dapat zat yang mencukupi, pemilihan jenis makanan sihat untuk kucing amat penting supaya tubuh dan bulu mereka kekal sihat.

Cadangan 16 Makanan Kucing Terbaik Dan Premium Menurut Productnation ialah:-

  • GLORY CAT For Cat and Kitten
  • Whiskas Cat Dry Food - Mackerel
  • Reflex Plus Cat Food Salmon
  • Molly Super Premium Cat Food - Indoor Cat
  • SmartHeart Cat Dry Food - Hairball Control
  • VitalPlus Cat Food 18kg Chicken Vital Plus
  • POWER CAT Fresh Ocean Fish
  • ROYAL CANIN Persian Adult Cat Food
  • MISHA Dry Cat Food
  • GREENS Cat Food Hair and Skin 1KG (PINK)
  • PURINA One Kitten Food with Chicken
  • BLACKWOOD Original Formula Chicken and Brown Rice
  • Royal Canin Mother & Babycat (2kg)
  • Monge Adult Sterilised Rich in Chicken Dry Cat Food
  • ProDiet Dry Cat Food Adult
  • Yummy Mix
** Makanan for cat & kitten bermaksud sesuai dimakan oleh ibu dan anak-anaknya.

Rajinlah bertanya dengan staff kedai kucing khususnya yang berpengalaman menjaga kucing, kerana mereka lebih tahu kan?


Baca juga : Cara Memilih Makanan Kucing

Langkah 5: Pembersihan Kucing


Pelajari kemahiran asas seperti menyikat bulu, memotong kuku, dan membersihkan telinga kucing. Ini perlu dilakukan secara berkala untuk menjaga kesihatan mereka. Kebersihan sangat penting kerana ianya dapat menjauhkan kucing daripada terkena penyakit kutu, kurap, selesema malah sporo kucing.

Anda tidak mahu mereka jatuh sakit kan? Bila anak bulus ini mula sakit, banyak usaha diperlukan. Oleh itu mulakan dari awal untuk berikan yang terbaik bagi haiwan comel ini.

Langkah 6: Pemeriksaan Kesihatan Berkala


Bawa haiwan kesayangan anda ke doktor haiwan untuk pemeriksaan kesihatan berkala dan vaksinasi yang diperlukan. Doktor haiwan juga akan memberikan nasihat tentang penjagaan kesihatan umum.

Cari : Klinik Kucing Near Me

Langkah 7: Keselamatan Kucing


Pastikan rumah anda selamat bagi kucing. Jauhkan barang-barang berbahaya seperti tumbuhan beracun dan bahan kimia. Selain itu, pastikan tingkap dan pintu berkunci untuk mencegah kucing berkeliaran di luar. 

Langkah 8: Kemandulan (Spaying/Neutering)


Pertimbangkan untuk mengamalkan kemandulan untuk mengawal populasi dan meningkatkan kesihatan kucing anda. Jika anda nak ada anak-anak kucing ok, pastikan anda sudah bersedia kerana makanan, pasir kucing akan bertambah kuantitinya. Sudah bersedia memelihara kucing yang banyak di rumah?

Langkah 9: Mengendalikan Kotoran Najis Kucing


Sediakan tempat pasir kucing yang sesuai dan pastikan untuk membersihkannya secara berkala. Ada banyak jenis pasir, pilihlah yang sesuai bagi kediaman rumah anda dan mudah untuk anda uruskan. Pasir kucing perlu dibeli oleh itu, rancang kewangan juga! Jangan nanti anda mengeluh sukarnya nak bela kucing dek anda sendiri malas dan takde duit nak beli pasir kucing sedangkan ini adalah keperluan asas membela seekor kucing.

Apa yang anda perlukan ialah:

  • Kotak najis kucing
  • Scoop
  • Plastik (jika najis jenis organic boleh terus flush di dalam toilet rumah)
  • Semburan bau (penghilang bau najis)

Baca sini : Cara Hilangkan Bau Najis Kucing Dalam Rumah

Langkah 10: Penjagaan Khas


Jika kucing anda memerlukan rawatan khas atau mempunyai keperluan kesihatan tertentu, pastikan anda memahami dan mematuhi arahan dari doktor haiwan. Ya, anda perlu cakna ya, jika najis mereka sihat atau tidak, aktif atau murung. Peka terhadap perubahan sikap kucing dan tabiat mereka ini, adakalanya itu petanda mereka sudah jatuh sakit.

Hadis & Dalil Tentang Hukum Bela Kucing Dalam Rumah 


Apakah hukum bela kucing dalam rumah ni? Tahukah anda, apabila menyebut tentang bela kucing , sudah pasti nama Abu Huraiah r.a. akan menjadi rujukan paling utama dalam sejarah Sahabat Nabi Muhammad saw selain dari baginda sendiri. Beliau merupakan seorang sahabat Rasulullah s.a.w yang sangat suka kepada anak-anak kucing. Gelaran ‘Abu Hurairah’ yang diberikan oleh Baginda kepadanya merupakan satu ikrar (pengakuan) terhadap keharusan membela kucing. Tidak ada satu riwayat pun yang menyatakan beliau menyusahkan jirannya dengan hobi memelihara kucing ini. Justeru, sesiapa yang ingin mencontohi hobi Abu Hurairah ini wajib baginya untuk menunaikan hak-hak kucing sebagai haiwan dan juga hak-hak jiran daripada dicerobohi.

https://semuanyajdt.com/hukum-dosa-memelihara-kucing/

Abu Qatadah Radliyallaahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda, “Kucing itu tidak najis. Ia adalah termasuk haiwan yang suka berkeliaran di rumah (haiwan pemeliharaan).” [HR At-Tirmidzi, An-Nasa’I, Abu Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah].

Abdullah bin Umar ra. juga meriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ. bersabda: “Seorang wanita diseksa kerana mengurung seekor kucing sampai mati. Kemudian wanita itu masuk neraka kerananya, iaitu kerana ketika mengurungnya dia tidak memberinya makan dan tidak pula memberinya minum sebagaimana dia tidak juga melepasnya mencari makan dari serangga-serangga tanah.” (Hadis Riwayat Muslim r.a.)

Denda Bagi Owner Kucing

Bela kucing ini menyeronokkan bukan? Namun hidup ini bukan sekadar untuk berseronok, memelihara kucing datang dengan tanggungjawab. Anda harus pastikan kucing comel anda tidak mengganggu jiran lain, bukan sahaja kucing itu tidak membuat hal malah bau-bauan, tahap kebisingan kucing anda juga harus dikawal dan diselia oleh anda sebagai tuan pemilik kucing!

Bayangkan kucing anda selamber jer, berak di halaman rumah jiran, sudah tentu ini akan mendatangkan kemarahan bagi mereka. Sudahlah berbau busuk, mereka terpaksa membersihkan pula.

Sebagai seorang Muslim, berbaik sesama jiran dan menjaga kebajikan jiran adalah kewajipan kita seperti diterangkan di dalam Al-Quran; Surah An Nisa ayat 36;

۞ وَٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا۟ بِهِۦ شَيْـًۭٔا ۖ وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَـٰنًۭا وَبِذِى ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْيَتَـٰمَىٰ وَٱلْمَسَـٰكِينِ وَٱلْجَارِ ذِى ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْجَارِ ٱلْجُنُبِ وَٱلصَّاحِبِ بِٱلْجَنۢبِ وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُكُمْ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ مُخْتَالًۭا فَخُورًا ٣٦

Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri;

Antara hukuman dan denda bagi orang yang bela kucing (pemilik) atau mereka yang kejam terhadap haiwan ini ialah:-

Pertuduhan mengikut Seksyen 29 (1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 29 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Jiran boleh didenda RM1,000 biar kucing ‘berak’ merata. kucing membuang najis merata-rata tempat itu boleh dianggap sebagai satu ‘kacau ganggu’.

Oleh, itu saya merayu ya dalam artikel ini sebagai pencinta kucing kepada pencinta kucing, sila bertanggungjawab sebagai pemilik kucing, bukan sekadar nak kasih sayang dari kucing tetapi sebagai Muslim yang bertanggungjawab terhadap haiwan peliharaan dan hak kejiranan ini.

Hotel Mesra Haiwan : Bercuti Sambil Bawak Kucing Kesayangan


Nak bersiar-siar, tetapi nak bawa juga kucing bersama. Boleh kah? Sukar juga kan, di Malaysia masih tidak banyak hotel yang membenarkan pemilik membawa haiwan kesayangan ini. Mungkin antara sebab adalah kucing akan merosakkan perabot, berak merata-rata, bising dan sebagainya

Berita baik!

Ada banyak senarai hotel yang anda boleh kunjungi bersama haiwan lucu ini.

Klik sini : Hotel Mesra Haiwan Di Malaysia

Jangan lupa ya baca peraturan hotel itu dengan jelas dan bawa keperluan haiwan kesayangan anda secukupnya!
 

Aksesories Kucing Yang Diperlukan Jika Bawa Berjalan-jalan


Pada suatu ketika dulu (semasa bujang), saya ada seekor haiwan kesayangan bernama Mica. Mica ialah kucing berbaka parsi, maka ya, saya sangat sayangkan Mika sehingga nak keluar ke mana-mana pun saya bawa. Pergi mana? Pergi MALL. kan... Jadi apa keperluan yang perlu anda sediakan jika anda juga nak bersiar-siar bersama kucing comel ini?

Oh ya, kucing ni sebenarnya bukan seperti anjing ya, mereka tidak biasa bersiar menaiki kereta. Oleh itu biasakan dulu dengan kereta agar mereka tidak stress nanti.

Pastikan kucing anda sudah makan dan minum serta beri masa kucing membuang najis dan kencing selepas makan dan minum. Ini memberikan masa untuk anda keluar berjalan dan tiada la insiden terkencing kan?

1- Beg kucing (anda boleh pilih jenis sandang tepi atau belakang, ada banyak sangat design yang cantik!)
2- Pet Diaper Plastic Beg (buang najis kucing untuk preparation)
3- Makanan & Air (sebagai preparation)
4- Catnip (boleh meredakan stress kucing, ada banyak jenis saya cadangkan jenis kayu ni kerana kucingkan suka main ranting-ranting kayu, apa2 pun u guys boleh check di Shopee ya)
5- Lapik Alas Kencing (Preparation la kan tiba-tiba kucing nak buang air kecil atau besar, tidak la mengotorkan sangat begnya nanti)
6- Mainan kesukaan kucing anda
7- Tali kucing (untuk ikat kucing supaya tidak terlepas dari anda - khususnya bawa ke taman)

Hotel Kucing (Boarding) : Nak Balik Kampung?


Sebagai rakyat Malaysia yang sering bercuti dan pulang ke kampung halaman, adakalanya memikirkan nak jaga kucing-kucing ni dan mengganggu keluarga sukar juga kan? Risau kucing kita diganggu pun ya, Oleh itu saya sarankan anda tinggalkan kucing kesayangan ini di hotel kucing sahaja.

klik sini untuk cari hotel kucing berhampiran anda! Find Hotel Kucing Near Me

Penutup


Persepsi orang terhadap mereka yang bela kucing ni kan, adakalanya negatif dari yang positif. Pastikan rumah anda sentiasa kemas, bersih dari bulu-bulu kucing, tiada bau najis atau bau pelik yang datang dari rumah anda hehe. Anda akan faham nanti bab ni yer.

Sentiasa vacuum, mop, buang debu-debu di dalam rumah supaya kesihatan anda semua juga terjaga. Jika anda ada asma atau anak-anak kecil, anda perlu cakna kerana ada anak atau orang dewasa yang alergic kucing.

Memberi kasih sayang kepada kucing adalah perkara yang diharuskan dalam syarak. Daripada kucing ini terbiar di jalanan, sakit dan mati, alangkah sedihnya kan? Kita ambil inisiatif untuk membela mereka di rumah kita sendiri. Walaupun tidak mudah namun ianya perkara yang mulia untuk dilakukan.


Silalah share artikel ini jika anda sukakanya!



Rujukan

https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/11/625208/angkara-bunuh-kucing-dipenjara-34-bulan-denda-rm40000

https://www.sinarharian.com.my/article/75719/khas/covid-19/pkp-hukuman-penjara-denda-jika-abai-haiwan-peliharaan

Catat Ulasan

0 Ulasan