Tazkirah Ringkas : Kehidupan, Hati dan Rezeki

Setiap usaha yang kita lakukan, bukanlah sesuatu perkara yang sia-sia dan membazir, walaupun ia kelihatan seperti menuju ke arah keputusan yang mengecewakan.

InsyaaAllah, dalam setiap apa yang kita lakukan, ia akan selalu membuatkan kita lebih kuat, lebih belajar dan mengecapi lebih pengalaman.

Jadi, apabila perjalanan ini menjadi lebih sukar, maka bersabarlah dan teruskan bergerak ke hadapan.

Ini kerana bila kita sedang bergelut dengan masalah, tidak bermakna kita sedang jatuh.

Kerana setiap kejayaan memang memerlukan kita berhempas untuk mencapainya.

Dan anugerah terbesar dalam hidup adalah  semakin kita bersyukur, semakin kita akan nampak hikmah terhadap setiap perkara yang terjadi.

Dia telah aturkan perjalanan yang jauh lebih indah dari apa yang kita rancang.

Kami jelaskan yang demikian itu supaya kamu jangan berduka cita kepada apa yang telah hilang daripada kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira kepada apa yang diberikan kepada kamu. Allah tidak suka orang yang sombong dan membangga diri...”

(Surah Al-Hadid, Ayat 23)

Kredit: Maahad Tahfiz Dar Al-Abrar

=============================

Semasa saya mendapat emel dari Maahad Tahfiz Dar Al-Abrar, ia seolah-olah penyelamat dari hati yang sedang runsing dan gelisah. Tepat datang pada masanya, dan inilah apa yang sedang saya rasakan. 

Kekecewaan, sedangkan kita berusaha setiap hari, berdoa dan bertindak.

Namun tindakan dan doa itu tidak lagi memberikan hasil yang saya mahukan. 

Saya lupa bahawasanya yang memberi, memakbulkan, menilai, adalah Allah swt.

Jika bukan lagi waktunya, maka saya harus terus usaha dan bersabar, berdoa dan beramal tanpa berkurangan sedikitpun dari apa yang biasa diamalkan, malah lebih baik jika ditambah lagi amalnya mengikut apa yang Allah suka

Peniaga ini berdagang dengan Allah, saya lupa kata-kata ini dari sebuah buku atau pernah dikatakan kepada saya suatu masa dulu. 

Ada masa kita tinggi di atas, suka dengan kejayaan tersebut, mungkin ada tindakan kita yang Allah nak tegur, memberi hikmah dan subhanallah tiada perkara yang sia-sia itu dari Allah. Hanyalah manusia yang melakukan perkara sia-sia. 


Alhamdulillah, alhamdulillah, nikmat yang manakah kita nak dustakan kan? 

Marilah kita terus berusaha, beramal dan melakukan semua ibadah yang Allah suka, cuba lah sedaya upaya kita melakukan setiap hari dengan penuh usaha agar Allah tahu, kita sedang menunggu dengan sabar dan bertindak dengan ikhlas hanya mengharap balasan dari Nya sahaja.

Semoga bagi pembaca yang sedang berasa kecewa, mungkin tak berjaya meraih sesuatu, mungkin kecewa akan pelbagai sebab tetapi ingatlah selagi mana kita tak putus harapan dengan Allah, Allah sedang rancang untuk kita itu jauh lebih baik daripada apa yang kita inginkan. 


tags: Tazkirah, Tazkirah Ringkas, Tazkirah Pendek, tazkirah pendek yang menyentuh hati, tazkirah ringkas tentang rezeki

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama