Azam Tahun Baru 2026: Arah Hidup, Amanah & Amalan Sebagai Seorang Muslim

Bismillah, Assalamualaikum pembaca semua. Alhamdulillah, hari ini kita sudah melangkah ke tahun baru, di mana saya yakin semua orang akan mula mengeluarkan azam baru, wishlish dan macam-macam lagi refleksi terhadap tahun yang sudah berlalu. Insya Allah

Sedar atau tidak, kita selalu bercakap tentang persediaan. Akan tahun baru. Matlamat hidup. Versi diri yang lebih baik.

Namun dalam satu sesi refleksi bertajuk Ready 2026, saya tersentak dengan satu soalan yang sangat jujur:

Soalan sebenar bukan “Ready 2026?”
tetapi “Adakah aku bersedia jika dipanggil bila-bila masa?”

Soalan ini tidak menakutkan. Ia menyedarkan yang matlamat kita hidup di dunia ini bukan sekadar menghabiskan tahun, tick wishlist.. bukan.

Dan bukanlah refleksi sebagai hamba itu, terhenti sekadar pada tahun baru hijrah, Muharram tetapi ianya sentiasa harus kita renew dan reset pada tiap-tiap masa, hari baru, bulan baru dan tahun baru.



“Hang Pi Mana?” – Arah Hidup Yang Sebenar

Allah bertanya dalam Al-Quran:

فَأَيْنَ تَذْهَبُونَ
“Maka ke manakah kamu hendak pergi?”
(Surah At-Takwir, ayat 26)

Soalan ini bukan tentang lokasi, tetapi tentang arah hidup kita di dunia yang sementara ini.

Ramai antara kita bergerak ke arah kestabilan, kewangan, dan keselesaan. Semua itu tidak salah. Tetapi jika keputusan hidup tidak berpandukan wahyu, kita sebenarnya sedang berjalan tanpa kompas.

Ready 2026 bermula dengan membetulkan arah, bukan mempercepat langkah.




“Hang Dok Mana Sekarang?” – Amanah Yang Dipikul

Allah menyebut tentang amanah:

إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَنْ يَحْمِلْنَهَا
“Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-ganang…”
(Surah Al-Ahzab, ayat 72)

Amanah itu besar: sebagai hamba Allah, sebagai isteri, sebagai ibu, sebagai anak, sebagai manusia. Terlalu besar dan berat sehinggakan tiada makhluk Allah yang kuat hatta gunung pun sanggup memikulnya, tetapi Allah serahkan kepada kita yang kerdil ini untuk menjadi penjaganya dan pengurusnya.

Amanah adalah satu perkara yang kita semua amat suka memikulnya tetapi amat culas dalam mengerjakannya. Relate?

Saya juga sama, adakalanya dan mungkin kebanyakkan masanya saya zalim dalam menguruskan amanah saya sendiri. Allahu akbar!

Allah menyambung kembali:

إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا
“Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan sangat jahil.”

 

Apa maksud zalim dalam amanah?

Zalim bukan semata-mata menindas. Dalam konteks amanah, ia bermaksud:

  • tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya
  • cuai terhadap tanggungjawab
  • mengambil ringan apa yang sepatutnya dijaga

Lawan zalim ialah ADIL — menunaikan amanah mengikut kadar yang sepatutnya, bukan ikut emosi.

Apa pula maksud jahil?

Jahil bukan tidak tahu, tetapi tahu yang betul namun tidak menggunakannya.

Lawan jahil ialah berilmu dan berhikmah — menggunakan ilmu untuk mengawal tindakan.

Maka, tahun ini amanah ini perlu kita muhasabah, apakah kita seorang yang zalim dengan amanah yang telah Allah berikan?

Lalu apa perlu kita lakukan? Mari kita fikirkan bersama-sama.

Zalim Dalam Amanah: Checklist Muhasabah Diri

Zalim ini sering berlaku tanpa kita sedar, kerana ia dibungkus dengan penat, tekanan dan alasan. Checklist ini bukan untuk menghukum diri, tetapi untuk sedar dan membaiki. Bagi saya, ianya penting untuk saya sentiasa semak apakah saya ada melakukan kesilapan dan berapa banyak alasan yang telah saya berikan kerana mengutamakan diri sendiri?

Apakah ini juga sebagai satu bentuk pentingkan diri? Dalam kita nak mengejar begitu banyak "topi", nak jadi yang terbaik tetapi rupanya kita hanya separuh dalam melakukan kerja tersebut.

Separuh jiwa sebagai seorang isteri, lagi separuh meronta-ronta ingin jadi wanita yang bebas? Fikirkan... Mari kita lihat, apakah checklist ini kena dengan kita? Semoga kita semua dapat jadi hamba Allah yang lebih baik pada tahun ini berbanding sebelumnya

Sebagai Isteri

  • Melayan ikut emosi, bukan adab
  • Melepaskan penat kepada pasangan
  • Menuntut difahami, jarang memahami

Sebagai Ibu

  • Hadir fizikal, jauh emosi
  • Marah lebih daripada memberi contoh
  • Menangguh perhatian anak

Sebagai Anak

  • Bercakap keras
  • Cepat menjawab, lambat mendengar
  • Doa bila teringat

Sebagai Hamba Allah

  • Melengah solat
  • Menormalkan dosa
  • Sibuk dunia, lupa Allah

Kita tidak dituntut sempurna,
tetapi dituntut berlaku adil dalam amanah.


“Yang Lepas Tu Macam Mana?” – Dosa, Ingatan & Aib

Allah memberi peringatan:

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنْ ذُكِّرَ بِآيَاتِ رَبِّهِ فَأَعْرَضَ عَنْهَا وَنَسِيَ مَا قَدَّمَتْ يَدَاهُ
(Surah Al-Kahfi, ayat 57)

Perlu ke kita ingat dosa silam? Ya — sebagai peringatan. Tidak — sebagai hukuman kepada diri.

Dosa silam ialah aib sendiri:

  • tidak untuk diceritakan
  • tidak untuk dibanggakan
  • tidak untuk dijadikan identiti

Selepas istighfar, kita belajar melepaskan, bukan menggali luka lama. Ustaz Fazrul menjelaskan, bukanlah dosa lama ini ditutup dan dilupakan selama-lamanya kerana nak buka buku baru, tetapi dosa dan pengalaman inilah yang menjadikan kita insan yang lebih baik.

Bukan untuk ditayang, dimegah tetapi itulah "aib" kita di hadapan Allah. Apabila Allah ampunkan dosa kita setelah kita bertaubat, maka seharusnya kita jadi lebih yakin menunaikan amanah Allah, tanggungjawab kita sebagai hamba-Nya agar bila saat kita dipanggil, kita sudah tiada sesalan kerana sudah buat yang terbaik mengikut apa yang Allah redha akan kita.

Soalan;

Apakah setiap perkara yang kita lakukan di dunia ini mengikut apa yang Allah suka atau yang tidak suka?

Apakah kita redha bahawa yang kita inginkan itulah, harus kita lepaskan jika itu bukan yang Allah redha?

Redha Allah atau redha manusia?


Amalan Kecil Untuk Hidup Lebih Bersedia

Kesediaan bukan datang daripada perubahan besar yang mendadak. Ia bermula dengan amalan kecil yang dijaga secara konsisten. Ianya boleh jadi apa sahaja, hatta bermula dengan semangat nak jaga solat tahajud setiap hari, beri senyuman setiap hari kepada insan tersayang (mana tahu asyik masam aje tiap-tiap pagi). 

Baik, maka mari kita cuba cari apakah amalan yang boleh kita perbaiki dan tambah lagi pada tahun 2026 

Antara Amalan Yang Boleh Kita Usahakan

Hubungan dengan Allah

  • Bangun solat tahajud walaupun 2 rakaat
  • Solat di awal waktu bila mampu
  • Puasa sunat setiap bulan
  • Istighfar setiap hari

Amanah diri & alam

  • Tidak membuang sampah merata-rata
  • Menjaga kebersihan dan tidak menyusahkan orang

Lisan & emosi

  • Menahan marah daripada kata-kata buruk
  • Diam ketika emosi memuncak

Media sosial

  • Berkongsi perkara yang bermanfaat
  • Menjaga aib sendiri dan orang lain

Hubungan sesama manusia

  • Minta maaf bila salah
  • Belajar memaafkan
  • Mendoakan orang lain

Ilmu & kesedaran

  • Luangkan masa dengan Al-Quran
  • Hadir majlis ilmu
  • Amalkan walau satu perkara kecil


Penutup: READY 2026 Sebenarnya

Ready 2026 bukan tentang hidup yang sempurna, dosa yang sifar, atau perancangan yang lengkap.

Tetapi tentang:

  • arah hidup yang jelas
  • amanah yang sedang dibaiki
  • dosa yang diletakkan di tempat yang betul
  • amalan kecil yang dijaga dengan jujur

Bukan soal hidup sampai 2026,
tetapi hidup dalam keadaan bersedia jika dipanggil bila-bila masa.

Dan kesediaan itu bermula dengan satu perkara kecil: kejujuran kita di hadapan Allah.



Catat Ulasan

0 Ulasan