Tentang Menjadi Manusia

Menjadi Manusia di Jalan Kebaikan

Dalam hidup ni, ada masa kita berada dalam kelompok orang-orang yang berbuat kebaikan. Niatnya baik, jalannya pun nampak betul. Tapi lama-lama kita sedar, kebaikan bukan hanya tentang apa yang dibuat tetapi ia juga tentang bagaimana ia disampaikan dan dirasai oleh orang lain.

Allah telah berpesan satu ayat yang ringkas tapi besar maknanya:

وَقُولُوا لِلنَّاسِ حُسْنًا

“Dan ingatlah ketika Kami mengambil perjanjian daripada Bani Israil: janganlah kamu menyembah selain Allah, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim dan orang-orang miskin, serta berkatalah kamu kepada manusia dengan perkataan yang baik, dan dirikanlah solat serta tunaikanlah zakat. Kemudian kamu berpaling, kecuali sebahagian kecil daripada kamu, dan kamu menjadi orang-orang yang ingkar.”
(Surah Al-Baqarah: 83)

Ayat ini telah buat saya berfikir. Kadang-kadang kita terlalu fokus nak buat benda baik, sampai terlupa bahawa cara bercakap dan cara menegur juga sebahagian daripada kebaikan itu. Kata-kata yang keluar, walaupun tanpa niat menyakiti, tetap boleh meninggalkan kesan pada hati orang lain.



Saya juga sedang belajar: tidak semua perkara perlu ditegaskan dengan suara yang kuat. Ada masanya, kelembutan lebih sampai ke hati.

Allah ingatkan kita tentang beratnya setiap kata:

مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ

“Tidak ada suatu perkataan pun yang diucapkannya, melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa siap mencatat.”
(Surah Qaf: 18)

Bila ayat ini kita pegang, kita jadi lebih berhati-hati — bukan sahaja ketika bercakap, tapi juga ketika menulis, membuat keputusan, dan melibatkan orang lain dalam urusan kita. Kerana setiap manusia ada had, ada keadaan, dan ada cerita yang kita sendiri mungkin tidak tahu.

Dalam memilih pergaulan pula, al-Qur’an mengajar kita supaya berada bersama orang yang membawa kita lebih dekat kepada Allah:

وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُم بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ

“Dan bersabarlah engkau (wahai Muhammad) bersama orang-orang yang menyeru Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, dengan mengharapkan keredaan-Nya; dan janganlah kedua-dua matamu berpaling daripada mereka kerana mengharapkan perhiasan kehidupan dunia; dan janganlah engkau mengikuti orang yang Kami lalaikan hatinya daripada mengingati Kami, serta menurut hawa nafsunya, dan adalah keadaannya itu melampaui batas.”
(Surah Al-Kahfi: 28)

Menyeru kepada Allah bukan sekadar dengan aktiviti dan gerak kerja. Ia juga tentang adab, empati, dan kesedaran bahawa kita berurusan dengan manusia, bukan mesin.

Saya menulis ini bukan untuk menyalahkan sesiapa, cuma sebagai peringatan untuk diri sendiri supaya tidak melupakan nilai adab ketika kita sibuk berbuat baik.

Saya juga belajar untuk terima satu hakikat: menjaga diri dan meletakkan batas bukan bermaksud menolak kebaikan. Kadang-kadang ia adalah cara untuk terus kekal waras dan ikhlas di jalan yang sama.

Allah Maha Mengetahui kemampuan kita:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya. Ia mendapat pahala daripada kebajikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa daripada kejahatan yang dilakukannya. (Wahai Tuhan kami) janganlah Engkau menghukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami beban yang berat sebagaimana yang telah Engkau pikulkan kepada orang-orang sebelum kami. Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kami dengan apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kami, ampunilah kami, serta rahmatilah kami. Engkaulah Pelindung kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.”
(Surah Al-Baqarah: 286)

Marilah sama-sama kita belajar menjadi insan yang lebih berhati-hati dalam pertuturan, dalam penulisan, dan dalam melibatkan orang lain dalam kehidupan kita. Kadang-kadang, satu ayat yang kita anggap “biasa” boleh jadi berat untuk orang lain. Dan kadang-kadang, satu keputusan yang kita buat tanpa fikir panjang boleh memberi kesan yang lama.

Al-Qur’an mengajar kita untuk saling mengingatkan dengan cara yang betul:

وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ

“Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.”
(Surah Al-‘Asr: 3)

Semoga Allah jaga lidah dan tulisan kita, dan semoga kita tidak menjadi sebab hati orang lain terluka walaupun ketika kita sedang berbuat baik.

 

Catat Ulasan

0 Ulasan