Saya sudah lama ada satu perniagaan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Pada awalnya, semuanya berjalan seperti biasa. Namun, apabila bisnes mula perlahan, saya berada dalam fasa kewangan yang agak ketat. Disebabkan itu, saya mengambil keputusan untuk tidak melakukan pembaharuan pendaftaran perniagaan buat sementara waktu. Pada masa tersebut, saya langsung tidak terfikir tentang kesan jangka panjang apabila SSM tak renew.
Tanpa saya sedar, tempoh pembaharuan itu rupanya sudah lama berlalu. Bukan sekadar setahun, tetapi hampir dua tahun. Dalam tempoh yang sama, saya telah mendaftarkan satu SSM lain menggunakan nama sendiri kerana kosnya lebih rendah. Ketika itu, pendaftaran SSM baharu ini hanyalah sebagai langkah berjaga-jaga supaya saya masih mempunyai perniagaan yang sah sekiranya perlu bergerak semula dengan cepat.
Apabila keadaan mula stabil dan saya ingin menghidupkan kembali perniagaan lama, saya log masuk ke sistem EzBiz melalui laman rasmi https://ezbiz.ssm.com.my. Di situlah saya mula perasan bahawa SSM lama saya sudah tidak lagi tersenarai. Dalam paparan akaun EzBiz, yang tinggal hanyalah pendaftaran SSM yang lebih baharu.
![]() |
| Paparan front page Ezbiz |
Selepas membuat semakan lanjut, barulah saya faham apa yang sebenarnya berlaku apabila SSM tidak diperbaharui lebih 12 bulan. Pembaharuan tidak lagi boleh dibuat secara biasa dan dalam tempoh tertentu, SSM tersebut akan dibatalkan sepenuhnya. Barulah saya benar-benar sedar bahawa isu SSM tak renew bukan sekadar soal pendaftaran, tetapi boleh memberi kesan yang lebih besar.
Perkara yang paling membuatkan saya berfikir panjang ialah tentang akaun bank perniagaan. Akaun bank tersebut dibuka atas nama SSM lama. Apabila SSM telah dibatalkan tetapi akaun bank masih wujud dan aktif, sebenarnya terdapat risiko yang ramai peniaga kecil tidak sedar. Sebab itulah penting untuk memastikan status akaun bank perniagaan SSM sentiasa selari dengan pendaftaran perniagaan yang sah.
Dalam situasi ini, saya dapati ada beberapa langkah yang kita boleh diambil. Antaranya ialah mendaftarkan semula SSM baharu menggunakan nama perniagaan lama, dengan syarat nama tersebut masih belum digunakan oleh orang lain. Jika nama itu sudah diambil, langkah yang lebih selamat ialah memaklumkan kepada pihak bank untuk menamatkan akaun bank yang berkaitan dengan SSM lama. Ini penting bagi mengelakkan sebarang masalah undang-undang atau salah faham pada masa hadapan.
Daripada pengalaman ini, saya semakin faham tentang kepentingan daftar SSM, walaupun bisnes masih kecil. Antara kelebihan yang saya sendiri rasai ialah:
- SSM menjadikan perniagaan lebih teratur dan diiktiraf secara sah.
- Urusan membuka dan mengurus akaun bank perniagaan SSM menjadi lebih jelas dan berasingan daripada akaun peribadi.
- Perniagaan kelihatan lebih diyakini oleh pelanggan dan pihak ketiga.
- Lebih mudah untuk merancang bisnes dalam jangka panjang tanpa risau isu pentadbiran.
- Mengurangkan risiko masalah apabila melibatkan transaksi kewangan dan dokumen rasmi.
Sekarang ini pula, hampir semua urusan berkaitan SSM boleh dibuat secara dalam talian melalui EzBiz. Bagi saya, renew SSM melalui EzBiz jauh lebih mudah berbanding dahulu. Dengan hanya log masuk, saya boleh mendaftarkan perniagaan baharu, membuat pembaharuan tahunan dan melakukan pindaan maklumat tanpa perlu hadir ke kaunter.
Apa yang saya pelajari daripada pengalaman SSM tak renew lebih setahun ini cukup ringkas. Jika kita memang berniat untuk berniaga, walaupun bisnes masih kecil atau jualan belum konsisten, urusan asas seperti pendaftaran dan pembaharuan SSM jangan dipandang ringan. Kadang-kadang bukan bisnes yang menyusahkan kita, tetapi perkara kecil yang kita tangguhkan terlalu lama.
Semoga bermanfaat, anda sudah daftar SSM untuk perniagaan anda? Jika belum mulakan segera!
![]() |
| Alhamdulillah, nama bisnes lama masih available. |



0 Ulasan