Apabila Amanah Datang Di Luar Kepakaran | Buku Graduasi TOTIQ Batch 4

Semasa menerima tugasan untuk membuat buku graduasi bagi TOTIQ batch 4, saya hampir berfikir untuk menolak tugasan ini. Bukan kerana tidak mahu membantu, tetapi kerana saya sedar ia datang di luar kepakaran saya.

Menguruskan Buku Graduasi TOTIQ Batch 4 bukanlah kerja yang biasa saya lakukan sebagai urusetia YUM. Namun, amanah ini akhirnya mengajar saya tentang keberanian untuk mencuba perkara baru, kebergantungan kepada pasukan, dan makna tawakal yang sebenar.

Apabila Amanah Datang Di Luar Kepakaran | Buku Graduasi TOTIQ Batch 4


Latar Belakang Tugasan Saya Sebagai Urusetia

Sebenarnyakan, sepanjang saya bertugas sebagai urusetia YUM bagi menjayakan pengajian TOTIQ Batch 4, kebiasaannya saya banyak terlibat dalam urusan dokumentasi, kemas kini database, dan terkini menguruskan landing page untuk beberapa program YUM.

Kerja-kerja ini memang berada dalam zon selesa saya walaupun hanya sekadar di belakang tabir iaitu memastikan maklumat tersusun, data kemas dan sistem berjalan dengan baik.

Namun, pada bulan Disember yang lalu, saya diberikan satu kepercayaan baharu: menguruskan Buku Graduasi TOTIQ Batch 4.

Apabila Amanah Datang Di Luar Kepakaran

Sejujurnya, rasa risau itu memang ada. Siap berdebar-debar lagi. Bukan kerana enggan memikul tanggungjawab, tetapi kerana saya sedar reka bentuk, lakaran visual dan susun atur buku bukanlah kepakaran utama saya. Walaupun saya bermain dengan Canva setiap hari, namun mereka sesuatu yang baru, fresh ianya bukanlah perkara yang saya lakukan. Saya sendiri sedar saya bukanlah seorang "designer".

Jika melibatkan pencarian maklumat, penyusunan kandungan, semakan teks atau copywriting, insya-Allah saya lebih yakin kerana itu memang bidang saya. Tetapi buku graduasi ini akan menjadi kenangan jangka panjang buat peserta dan itu membuatkan saya lebih berhati-hati.

Namun, saya memilih untuk tidak menolak amanah ini. Saya terima tugasannya dan berbesar hati diberikan kepercayaan ini.

Belajar Meminta Bantuan & Berani Mencuba

Sebagai langkah awal, saya meminta bantuan rakan urusetia yang selama ini memang memegang peranan sebagai media YUM. Dalam masa yang sama, saya cuba juga menggodek Canva, melihat rujukan dan melakar beberapa idea awal untuk cover buku graduasi.

Ia bukan bermula dengan keyakinan penuh, tetapi dengan niat untuk mencuba sebaik mungkin.

Alhamdulillah, sesuatu yang saya tidak sangka berlaku. Idea dan lakaran awal tersebut diterima dengan baik oleh pihak YUM. Terkejut!! Terus saya maklumkan tim bahawa pihak YUM suka pula dengan cover buku tersebut. Allah teruja sungguh.

Allah… betapa gembiranya rasa ketika itu. Percubaan kecil yang dibuat dengan penuh rasa tanggungjawab akhirnya dipandang dan diterima.

Proses Di Sebalik Tabir

Proses menyiapkan buku graduasi ini mengambil sedikit masa kerana ia dilakukan dalam tempoh yang agak mencabar iaitu semasa musim cuti sekolah, ditambah pula dengan urusan anak-anak dan rutin harian sebagai ibu.

Ada beberapa peserta, ajk tidak memberikan informasi yang diperlukan pada waktunya malah terlebih waktu. Jadi saya harus kenal pasti dan memaklumkan serta mendapatkan informasi tersebut secara persendirian.

Namun, langkah demi langkah kita teruskan juga. Menyusun halaman, menyemak maklumat, memastikan nama dan wajah setiap peserta dirakam dengan sebaiknya, serta menjaga agar keseluruhan buku ini membawa nilai penghargaan dan kenangan.

Rakan media YUM turut membantu membuat sentuhan akhir agar hasilnya kelihatan lebih kemas, cantik dan profesional. Kerjasama ini benar-benar mengingatkan saya bahawa kerja berpasukan adalah satu nikmat yang besar.

Dengan izin Allah, akhirnya Buku Graduasi TOTIQ Batch 4 berjaya disiapkan.

Penutup: Amanah & Tawakal

Sedar tak? Kadang-kadang Allah tidak memberi amanah kerana kita sudah pandai, tetapi kerana Allah mahu kita belajar bersandar kepada-Nya. Rasa takut itu bukan tanda kelemahan, tetapi ruang untuk kita belajar bertawakal dan melangkah dengan rendah hati.

Berhati-hati dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan kerana kita inginkan hasilnya menjadi yang terbaik.

Buku graduasi ini bukan tentang kesempurnaan reka bentuk, tetapi tentang keberanian menerima tanggungjawab, kesediaan untuk belajar perkara baharu, dan keindahan bekerja bersama dalam satu pasukan.

Allah mengingatkan kita:

“Dan barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya.”
(Surah At-Talaq, ayat 3)

Ayat ini sangat menenangkan hati saya bahawa mencuba dengan niat yang betul dan berserah kepada Allah lebih utama daripada menunggu rasa “cukup pandai” yang mungkin tidak pernah datang.

Setiap amanah ada ceritanya tersendiri. Dan setiap cerita yang disandarkan kepada Allah, akan sentiasa ada maknanya.

Alhamdulillah, satu lagi amanah disempurnakan.

Catat Ulasan

0 Ulasan