Bukit Panorama, Gua Charas & Menara 188: Catatan Sehari Melihat Kebesaran Allah

Pada 4 Januari yang lepas, kami sekeluarga memulakan hari lebih awal daripada biasa. Target asal sebenarnya nak bangun sekitar 3.30 pagi, tetapi realitinya kami terjaga 4.30 pagi. Dengan tujuh orang dalam satu rumah, urusan kejut anak-anak, bersiap dan memastikan semua bersedia memang mengambil masa. 

Kenapa bangun seawal pagi? Kami berencana untuk mendaki Bukit Panorama Sg Lembing! Wah, lama dah sejak kali pertama kami ke sana bersama anak-anak, waktu ni anak-anak masih kecil lagi, rasanya anak sulung lebih kurang 7-8 tahun. Qhaira baru lahir, bawah usia setahun, sekarang Qhaira sudah berusia 9 tahun. huhu

Anak-anak masih mamai dan blurr walaupun perancangan sudah dimaklumkan sejak malam sebelumnya. Bangun pagi, saya sediakan sarapan ringan sahaja iaitu roti, biskut, air masak dan kopi untuk dibawa. Bukan untuk kenyang, cukup sekadar ada tenaga, tahu dah anak-anak memang tiada selera nak makan setelah berpenat mendaki bukit, maka sekadar isi perut dan tambah tenaga untuk turun semula. 

Keletihan. Namun seronok aktiviti sebegini kan?

Kami bertolak sekitar 5.30 pagi dan tiba di Sungai Lembing hampir waktu Subuh. Di masjid, kelihatan ramai juga jemaah berpakaian hiking seperti kami. Dalam hati terdetik, mungkin tujuan kami sama, teruja!

mendaki bukit panorama sg lembing kuantan


Bukit Panorama Sungai Lembing

Selepas Subuh, kami mula mencari laluan ke Bukit Panorama. Sempat juga sesat sekejap sebelum berpatah balik ke kawasan masjid. Rupanya kami masuk laluan yang agak sempit dan jarang digunakan, sedangkan ada laluan lain yang lebih selesa. Tapi kami teruskan sahaja kerana agak gelap dan kami just nak cepat sampai. Mujurlah betul laluan tersebut.

Nak kata pendakian ini sangat mencabar, sebenarnya tidak. Suami memang biasa dengan aktiviti hiking. Cuma, bila dibuat bersama seluruh ahli keluarga, rentaknya jadi berbeza. Ada yang laju, ada yang perlahan. Ada yang perlu berhenti sekejap, ada yang perlu dipujuk.

Bagi saya pula, sebab jarang buat, tetap terasa penat. Nafas cepat pendek, lutut mula terasa. Anak-anak walaupun mengadu penat, kaki mereka tetap melangkah. Paling saya syukuri, Rayyan yang berusia lima tahun dan memang tak gemar aktiviti lasak berjaya juga naik walaupun dengan bebelan yang tidak berhenti. Dukung beberapa kali, ya. Tapi alhamdulillah, dia sampai.

Kali ini kami benar-benar dapat meneroka kawasan atas bukit. Dulu pernah naik, tetapi ketika itu anak-anak masih kecil dan pergerakan sangat terbatas. Kali ini, bila semuanya sudah besar, pengalaman itu terasa lebih lapang dan menyeronokkan.

Qhaira dan Qaireen pula perlu menggunakan inhaler sebelum mendaki dan sekali lagi di atas. Ada rasa risau melihat mereka keletihan, tetapi alhamdulillah semuanya terkawal.

Di atas, ada dua spot utama kawasan dengan tulisan “Bukit Panorama” dan puncak sebenar yang perlu berjalan sedikit lagi ke atas tanpa tangga. Di sinilah pemandangan terbuka, awan terasa dekat dan matahari terbit perlahan-lahan.

Rupanya kali pertama datang ke sini, kedua-dua spot tersebut kami tidak sempat pergi, cukup sekadar sampai di pondok rehat kemudian patah balik. Mungkin sebab masa itu, anak-anak masih kecil, jadi kami sampai di atas dan nikmati seadanya. Satu pencapaian bagi saya sendiri dapat daki Bukit Panorama ni tahu.

Di atas sana pada saat itu, saya terdiam seketika. Subhanallah, cantik sungguh kejadian Allah kan?

Apa yang kita lihat ini bukan hasil tangan manusia. Langit, awan, cahaya pagi dan susunan alam — semuanya adalah ciptaan Allah. Manusia mampu membina bangunan tinggi dan teknologi canggih, tetapi mampukah manusia mencipta langit? Mencipta awan yang bergerak tanpa tiang? Mengatur matahari terbit tepat pada waktunya?

Di situ, rasa kecil itu hadir dengan sendiri. Dan bersama rasa kecil itu, datang rasa syukur yang lebih dalam. Semoga anak-anak ini juga dapat rasakan betapa kerdilnya kita sebagai manusia, dan Allahlah Tuhan yang Maha Kuasa.

Gua Charas, Kuantan

Selesai hiking, kami mencari tempat makan. Kawasan Sungai Lembing rupanya banyak kedai Cina, terasa seperti mini Chinatown. Kami berpusing agak lama sebelum jumpa kedai makan Melayu. Syukur, makanan panas dan sedap semua orang makan dengan laju. Lapar la tu kan, si kakak asyik sebut nak makan nasi dari atas bukit lagi.

Dalam perjalanan pulang, suami mencadangkan kami singgah ke Gua Charas. Anak-anak dah kepenatan, mengeluh juga. Tetapikan alang-alang dah ke sana, berapa kali pula nak berpusing berjalan di Sungai Lembing dalam hiking mode? Malangnya, apabila sampai sahaja, nampak tangga dan rasa “tak larat” itu muncul semula. Kawasan ini dijaga oleh persatuan Buddha dan terdapat anjing serta monyet di sekitar.

Sungguh antara monyet dengan anjing, saya lagi trauma dengan monyet. Beberapa kali diganggu dan alami trauma hampir diterkam monyet buatkan saya rasa amat takut dengan kehadiran monyet.

Tangga di sini curam tetapi lebih pendek. Ada satu bahagian tangga besi yang agak menggayatkan. Tinggal sedikit sebelum masuk ke gua, suasana sunyi kerana ketika itu hanya kami sahaja di situ. Anak-anak pula berani lain macam.

Di dalam gua, alhamdulillah suasananya sejuk dan tenang. Gua besar dan ringkas. Melihat struktur semula jadi begini, hati kembali teringat, ini semua bukan kebetulan, tetapi terbentuk dalam aturan Allah yang sangat teliti.

Menara 188 Kuantan

Belum tamat lagi hari kami. Dari Sungai Lembing, kami terus ke Menara 188 Kuantan untuk melihat pemandangan bandar dari atas. Cantik, tersusun dan moden — hasil usaha manusia.

Namun bila dibandingkan dengan langit pagi di Bukit Panorama, terasa jelas perbezaannya. Bangunan boleh dibina, tetapi ciptaan Allah tetap tiada tandingan.

Simple sahaja rupanya dari dalam menara, nampak seluruh Kuantan. Sambil-sambil cari di manalah rumah kami? 

Ada teleskop untuk kalian lihat jarak jauh dengan zoom. Ini pun sebenarnya rezeki naik menara kerana ada promosi ke tingkat 1 (observation deck) pada harga RM10 seorang. Naik 7 orang, maka RM70 dihabiskan di atas. 

Ada 3 level, tetapi tak mengapalah ada rezeki lain, kita naik skydeck pula. Ada aktiviti lagi dekat atas sana, siapa berani dipersilakan.

Maklumat Ringkas Lokasi

bukit panorama sg lembing kuantan

Bukit Panorama Sungai Lembing

  • Masa mendaki: 30–45 minit
  • Tahap: Mudah → sederhana
  • Laluan: Tangga & laluan tanah
  • Sesuai: Pemula & keluarga
  • Lokasi: Sungai Lembing, Kuantan
review gua charas sg lembing kuantan


Gua Charas

  • Tempoh: 15–30 minit
  • Akses: Tangga konkrit & besi
  • Suasana: Sejuk & lembap
  • Persekitaran: Kawasan Buddha
  • Lokasi: Panching, Kuantan
review menara 188 kuantan


Menara 188 Kuantan

  • Ketinggian: ±188 meter
  • Aras utama: Observation Deck
  • Tarikan: Skydeck (tiket)
  • Sesuai: Semua peringkat umur
  • Lokasi: Pusat Bandar Kuantan

Penutup

Kami tiba di rumah sekitar jam 2 petang. Solat Zuhur dan terus berehat.

Bila dikenang semula, hari itu bukan sekadar tentang bukit, gua atau menara. Ia tentang bergerak bersama keluarga, menyesuaikan langkah dan belajar melihat alam dengan lebih perlahan.

Kerana setiap keindahan yang kita lihat — langit, awan, gua dan cahaya pagi — semuanya adalah tanda kebesaran Allah. Dan sebagai hamba, tugas kita bukan sekadar melihat, tetapi merenung dan mensyukuri.

PS: Dinasihatkan kepada sahabat yang pasif seperti saya, buat stretching ya. Saya ambil masa seminggu untuk sembuh muscle strain, sempat jalan tempang dan dipanggil penguin oleh sahabat tetangga huhu. Itulah padahnya jika terlebih bekerja pada aktiviti yang amat jarang dilakukan. Maka? Keraplah bersenam dan aktiviti yang membantu pendakian anda. Insya Allah

Catat Ulasan

0 Ulasan