Terus ke kandungan
emme marinaCATATAN & KERJA DIGITAL

Catatan Surirumah: Mengemas Halaman Menjelang Musim Tengkujuh

Setiap kali masuk penghujung Oktober, saya dah mula bersiap untuk menghadapi musim tengkujuh.

Hari ini, saya mengambil kesempatan mengemas halaman rumah. Antaranya mengalihkan pasu tanaman hidroponik, menyusun semula pokok bunga dan menyediakan kawasan ampaian supaya lebih terlindung daripada hujan.

Nampak macam kerja mengemas biasa, kan? Tetapi bagi kami yang pernah mengalami banjir, persediaan begini memang dah jadi rutin tahunan.

Pengalaman Banjir Tahun 2021

Saya tinggal di Kuantan, berhampiran kawasan Sungai Belat.

Tahun 2021, rumah kami pernah dinaiki air banjir. Ketika itu, Rayyan baru berusia setahun.

Air dalam rumah naik sehingga paras lutut suami, manakala di luar rumah sudah mencecah paras pinggang.

Kawasan kami biasanya berisiko banjir apabila hujan turun berterusan selama beberapa hari. Paras air sungai meningkat dan akhirnya melimpah ke kawasan perumahan.

Selepas kejadian 2021, sistem pam banjir telah disediakan bagi membantu mengurangkan risiko banjir di kawasan kami.

Alhamdulillah, lorong rumah kami juga mempunyai kedudukan tanah yang lebih tinggi berbanding lorong lain.

Tahun Lepas, Kami Keluar Lebih Awal

Tahun 2025, banjir kembali melanda kawasan taman kami.

Kali ini, kami mengambil keputusan untuk keluar lebih awal selepas siren amaran banjir berbunyi.

Alhamdulillah, lorong rumah kami terselamat daripada dinaiki air. Namun, kawasan lain dalam taman tetap terjejas.

Apa yang menyedihkan, terdapat juga kejadian kematian akibat renjatan elektrik ketika banjir.

Saya benar-benar berharap pihak berkaitan, termasuk TNB, dapat mengambil tindakan lebih awal dan menyelaraskan langkah keselamatan sekiranya banjir berulang.

Persediaan Kecil Sebelum Musim Tengkujuh

Buat masa sekarang, saya mulakan dengan perkara yang mampu dilakukan sendiri.

  • Mengemas halaman rumah supaya tidak terlalu banyak barang berselerak.
  • Menyusun pasu dan tanaman agar mudah dialihkan apabila perlu.
  • Mengubah kedudukan ampaian ke kawasan yang lebih terlindung daripada hujan dan percikan air dari bumbung.
  • Membersihkan lantai simen yang mudah berlumut dan licin ketika musim hujan.
  • Memastikan laluan keluar tidak terhalang oleh barang atau peralatan.
  • Menyediakan dokumen penting dan barang kecemasan di tempat yang mudah dicapai.

Selain itu, kami perlu sentiasa peka dengan amaran cuaca, paras air Sungai Belat dan arahan pihak berkuasa.

Pengalaman lalu mengajar saya supaya tidak menunggu air masuk ke rumah sebelum bertindak.

Berjinak-jinak dengan pasu hydroponik tahun ni masa join kelas Mahir Tani, jangan kata apa-apa pasal daun sup tu ye. Biarkanlah dia. Berapa kali kene cabut tinggal tu je. 

Hydroponik untuk bunga kembung sepuluh kan? haha, saya pakai sistem ni la tetapi letak open, maksudnya terdedah dengan hujan. Habis tenggelam tanah pokok bunga ni, kesian dia. Kene keluarkanlah dari bekas air.

Mengecut masa ni. Bunga tak kembang dah. Masa saya cek ni semua dah tenggelam dengan air hujan.

Semoga Musim Tengkujuh Kali Ini Dipermudahkan

Walaupun kawasan rumah kami lebih tinggi dan sudah mempunyai sistem pam banjir, itu bukan jaminan kami akan sentiasa terselamat.

Banjir bukan perkara yang boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan keselamatan keluarga.

Apa yang mampu kita lakukan ialah bersedia lebih awal, mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa mengikuti perkembangan semasa.

Semoga Allah melindungi kita semua daripada musibah banjir dan mempermudahkan urusan mereka yang diuji.

Aamiin.

26 Oktober 2026 — Catatan persediaan musim tengkujuh dari halaman rumah saya di Kuantan, Pahang.

Ulasan

HASIL KERJA EMME MARINA

Projek digital

Butiran dan pautan projek akan dikemas kini.