Ruang Sihat: Daripada Sekeping Headache Log kepada Diari Kesihatan Digital
Semuanya bermula dengan sekeping kertas Headache Log.
Borang untuk mencatat sakit kepala. Ada tarikh, masa, tahap kesakitan, simptom, ubat, makanan dan aktiviti sebelum sakit kepala berlaku.
Saya tengok borang tu, kemudian terfikir. Kalau setiap kali sakit kena tulis atas kertas, lama-lama banyak juga nak disimpan. Belum lagi kalau nak semak semula catatan lama.
Kenapa tak buat sistem sendiri sahaja?
Sekarang dunia AI dan teknologi semakin berkembang. Kalau ada cara untuk memudahkan urusan kita, apa salahnya kita manfaatkan, kan?
Jadi, saya pun mulakan satu lagi projek kecil yang saya namakan Ruang Sihat – Diari Kesihatan Peribadi Saya.
Bina Sendiri Menggunakan Google Apps Script
Saya menggunakan Google Apps Script untuk membina aplikasi web dan Google Sheets sebagai pangkalan data.
Tak perlu aplikasi yang rumit. Saya cuma mahukan sistem yang boleh dibuka melalui telefon, mudah diisi dan semua maklumat tersimpan dengan teratur.
Pada mulanya, saya hanya mahu merekodkan migrain. Tetapi saya fikir, alang-alang dah buat, masukkan sekali gastrik dan resdung.
Akhirnya, Ruang Sihat mempunyai lima menu utama:
Utama: Ringkasan keadaan kesihatan dan hari bergejala.
Catat: Rekod episod simptom dan keadaan kesihatan harian.
Ubat: Jadual dan catatan pengambilan ubat.
Analisis: Melihat kekerapan, tempoh dan corak simptom.
Sejarah: Menyemak semula catatan lama dan memuat turun laporan.
Saya juga boleh mencatat perkara seperti tahap kesakitan, lokasi sakit, aktiviti, makanan, tidur dan tahap stres.
Semuanya melalui telefon sahaja. Sistem ini dinamakan web app, jadi saya boleh buat shortcut untuk website Ruang Sihat di main skrin telefon. Tekan sahaja untuk update setiap hari.
Paling Penting, Rekod dan Analisis untuk Doktor
Sebenarnya, inilah tujuan utama saya membina Ruang Sihat.
Saya mahu mempunyai rekod yang boleh ditunjukkan kepada doktor apabila mendapatkan rawatan.
Biasanya apabila doktor bertanya bila kali terakhir migrain, berapa kerap berlaku atau berapa lama sakit berlangsung, kita kena fikir dan cuba ingat semula.
Kadang-kadang memang tak ingat!
Dengan Ruang Sihat, setiap catatan disimpan dalam Google Sheets. Saya boleh menyemak semula rekod, melihat analisis dan memuat turun laporan untuk dibawa ketika berjumpa doktor.
Sekurang-kurangnya, doktor mempunyai maklumat tambahan untuk menilai sejarah simptom saya, bukan hanya bergantung pada apa yang saya ingat ketika itu.
Sudah tentu sistem ini bukan untuk mendiagnosis penyakit sendiri. Ia cuma membantu saya menyimpan maklumat dengan lebih baik untuk rujukan dan semakan doktor.
Teknologi Sepatutnya Memudahkan Urusan
Bagi saya, tak semestinya kita perlu membina sesuatu yang besar atau canggih.
Kadang-kadang, sistem kecil yang menyelesaikan masalah sendiri pun sudah cukup bermanfaat.
Dengan bantuan teknologi dan AI hari ini, banyak perkara yang dulu nampak susah sebenarnya boleh kita cuba usahakan.
Daripada sekeping borang kertas, sekarang saya sudah ada diari kesihatan digital sendiri. Siap dengan rekod, analisis dan laporan.
Cuma satu perkara yang masih perlu saya disiplinkan, iaitu konsisten mencatat. Haha.
Buat masa ini, Ruang Sihat untuk kegunaan peribadi saya dahulu. Saya akan tambah baik berdasarkan keperluan semasa menggunakannya.
Teknologi bukan sekadar untuk menghasilkan sesuatu yang hebat. Kalau ia boleh memudahkan urusan harian dan membantu kita mengurus kehidupan dengan lebih baik, itu pun sudah cukup bermakna.
Itulah cerita ringkas di sebalik Ruang Sihat. 🌸







Ulasan
Catat Ulasan