Life As Mom

 Hidup sebagai seorang ibu tidak akan sama bagi setiap insan walaupun dalam situasi yang sama. Kita memiliki seorang suami dan berapa anak, lelaki atau perempuan. Sopan atau nakal. Semua lelaki atau semua perempuan. Surirumah atau bekerja. Setiap ibu mempunyai kisah yang berlainan dalam setiap situasi sama, ini kerana kisah kita semua adalah unik. 


Alhamdulillah. Tahniah saya ucapkan kepada ibu-ibu yang berjaya mengharungi setiap detik dengan tabah dan ceria. Penting ya untuk kita utamakan keceriaan diri, tanpa memulakan hari dengan senyuman, hidup kita hari ini mungkin sukar. Apatah lagi, jika anak-anak masih kecil. Ragam menguruskan anak-anak kecil vs anak-anak besar adalah tidak sama. Cara menguruskan keluarga yang sudah dewasa tidak mungkin sama dengan menguruskan keluarga kecil. Pemikiran yang berbeza, tindakan berbeza, cara mendengar arahan turut berbeza memainkan peranan kepada emosi kita setiap hari. 


Adakah ibu-ibu rajin bertanya pada diri, apakah aku bahagia pada hari ini? Jika ya, alhamdulillah. Jika tidak, mari kita duduk sebentar, bertafakur dan mula berfikir dan cari apakah satu titik yang dapat beri kebahagian pada diri kita pada hari ini. Dalam hidup, untuk kekal kuat, kita perlukan minda yang positif. Jika sedang berduka, murung, gelisah, tidak gembira ini semua akan menarik pelbagai situasi negatif yang lebih memburukkan keadaan. Maka, energi negatif itu perlu kita tukar kepada positif supaya setiap hari kita dapat menarik aura-aura bahagia, positif, yang baik-baik dan tentunya yang baik inilah dijadikan kekuatan untuk kita menempuh cabaran setiap hari.


Sudah lama saya tidak bersiaran di sini. Saya juga sedang menempuh satu fasa di mana diri sendiri bukanlah priority. Saya harus dahulukan kerja-kerja anak, saya harus dahulukan rengekan dan permintaan si kecil. Rayyan baru menginjak usia ke satu tahun, ini adalah fasa di mana mindanya sangat aktif untuk mencuba segala perkara baru, mula menjadi pelbagai karakter, mula tahu menjadi cemburu dan memerlukan saya untuk bersama dia setiap masa. Daripada saya menjadi marah, kecewa kerana terpaksa melayani perangai anak, lebih baik saya bina situasi dan pemikiran yang positif supaya saya tak tenggelam dan menjadi ibu yang pemarah. 


Semalam, akhirnya saya tutup meja ofis di rumah. Mujurlah meja lipat sahaja, satu meja lagi diletakkan di bilik anak. Kerusi-kerusinya kami ketepikan, satu di ruang belakang, satu lagi diletakkan barang dan menjadi display di ruang tamu. Sudah lebih seminggu, kali ini perangai Rayyan tidak mahu saya duduk membuat kerja di meja. Setiap kali saya duduk untuk membuat kerja, dia datang dan  memanjat. Duduk di depan mama, dan mula menekan keyboard. Setiap hari dari pagi dia jaga hinggalah dia tidur. Mujur kakak-kakak dapat jaga sejam dua untuk saya siapkan kerja yang penting. Jika tidak, naik geram juga saya. Bila saya duduk saja di bawah bersama Rayyan, barulah dia lepaskan saya dan pandai pula dia bermain sendiri, namun tetap juga dikerling mama di mana. Bermain sambil memerhatikan mama. Kejap-kejap dia akan datang dan duduk di riba, atau membalingkan diri atas badan jika saya berbaring pula. Aduh Rayyan. 


Setiap anak, lain cabaran. Saya anggap ini sebagai satu fasa indah bersama anak kelima. Satu-satunya anak lelaki yang saya ada pada masa ini. Enjoy the moment. 


Saya rindu untuk berkongsi pelbagai nota bersama sahabat di blog, namun fokus saya agak terganggu. Masa saya untuk luangkan di sini juga sangat limited. Saya berdoa agar fasa ini berlalu dengan baik dan saya boleh mula berkongsi bersama anda semua. Insya Allah. 


Jumpa sahabat semua di lain hari. Let's enjoy our motherhood. 

Catat Ulasan

0 Ulasan