Solat Istikharah : Tujuan, Cara, Lafaz Niat & Doa Solat Istikharah

Solat istikharah atau solat sunat istikharah biasanya dilakukan apabila seorang muslim berhajat kepada sesuatu atau tidak pasti keputusan yang bakal diambil. Maka solat istikharah ini menjadi penunjuk arah bagi mereka yang inginkan kepastian dan jawapan dari Allah bahawa tindakan atau keputusan mereka adalah betul atau sebaliknya. 

solat istikharah


Maksud & Tujuan Solat Istikharah


Solat Istikharah adalah sebuah solat sunat dalam agama Islam yang dijalankan bagi memohon petunjuk dan bimbingan Allah dalam membuat keputusan penting, terutamanya ketika berada di persimpangan jalan atau berada dalam keadaan bimbang antara dua pilihan yang baik.

Maksud Solat Istikharah adalah untuk meminta pertolongan dan petunjuk dari Allah dalam mengambil keputusan agar kita dapat membuat pilihan yang terbaik dan sesuai dengan kehendak-Nya. Solat ini juga mengandungi doa khusus yang dibaca setelah selesai menunaikan solat sunat dua rakaat tersebut.

Solat Istikharah dapat diamalkan dalam berbagai situasi, seperti ketika ingin memutuskan untuk berkahwin, mencari pekerjaan, membeli rumah, atau membuat keputusan lain yang penting dalam hidup. Dengan berdoa dan memohon petunjuk dari Allah, diharapkan hati akan menjadi lebih tenang, dan Allah akan memberikan petunjuk atau pertanda untuk arah yang terbaik bagi kita.

Walaupun Solat Istikharah dimaksudkan untuk memohon petunjuk dari Allah, penting untuk diingat bahawa keputusan akhir masih tetap dalam tanggungjawab individu, dan kita perlu mengambil tindakan yang bijaksana setelah berdoa. Semoga dengan berdoa dan Solat Istikharah, kita dapat mengambil keputusan yang terbaik untuk diri kita dan yang diridai oleh Allah.

Cara Solat Istikharah


Hukum solat isktikharah adalah sunat. Oleh itu, bagi sesiapa yang berhajat atau ingin memohon petunjuk tentang satu perkara yang ingin dilakukannya maka disunatkan kepadanya solat dua rakaat dan berdoa dengan doa yang telah diajarkan oleh Nabi saw. Dikerjakan 2 rakaat, namun diharuskan jika mahu mengerjakan solat istikharah melebihi 2 rakaat. 


Niat & Cara Menunaikan Solat Sunat Istikharah


Lafaz niat:

أصلي سنة الإستخارة ركعتين لله تعالى
Usolli sunnatal istikharati rak’ataini lillahi taala

"Sahaja aku Solat Sunat Istikharah dua rakaat kerana Allah ta'ala"

Caranya;

1- Rakaat pertama baca surah Al-Fatihah dan kemudian baca Surah Al-Kafirun
2- Rakaat kedua baca Al-Fatihah dan selepas itu baca surah Al-Ikhlas
3- Ketika sujud terakhir, digalakkan membaca sebanyak 40x;

doa zikir solat istikharah

Maksudnya;
Maha Suci Dikau yang tiada ilmu bagi kami kecuali apa yang Dikau ajarkan (tunjukkan) kepada kami. Sesungguhnya Dikau Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana!

4- Selepas mengucapkan salam, bacalah surah Al-Fatihah dan dihadiahkan kepada:
  • Rasulullah saw
  • Para sahabat Nabi
  • Wali-wali Allah
  • Muslimin dan muslimat

Doa dan Wirid Selepas Solat


Bacalah doa selepas Solat istikharah supaya apa yang dihajatkan itu mendapat berkat dan petunjuk dari Nya. Agar setiap yang kita pohon sesuatu di dunia itu adalah sesuatu yang bermanfaat di dunia dan di akhirat

Doa Istikharah



doa solat istikharah


اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْتَخِيْرُكَ بِعِلْمِكَ وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ، وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلاَ أَقْدِرُ، وَتَعْلَمُ وَلاَ أَعْلَمُ، وَأَنْتَ عَلَّامُ الغُيُوْبِ، اَللَّهُمَّ فَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ هَذَا الْأَمْرَ ( … ) خَيْرًا لِيْ فِيْ دِيْنِيْ وَمَعَاشِيْ وَعَاقِبَةِ أَمْرِيْ فَاقْدُرْهُ لِيْ وَيَسِّرْهُ لِيْ، ثُمَّ بَارِكْ لِيْ فِيْهِ، اَللَّهُمَّ وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّهُ شَرٌّ لِيْ فِيْ دِيْنِيْ وَمَعَاشِيْ وَعَاقِبَةِ أَمْرِيْ فَاصْرِفْنِيْ عَنْهُ، وَاقْدُرْ لِيَ الْخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ثُمَّ رَضِّنِيْ بِهِ


Ya Allah, sesungguhnya aku beristikharah pada-Mu dengan ilmu-Mu, aku memohon kepada-Mu kekuatan dengan kekuatan-Mu, aku meminta kepada-Mu dengan kemuliaan-Mu. Sesungguhnya Engkau yang menakdirkan dan aku tidaklah mampu melakukannya. Engkau yang Maha Tahu, sedangkan aku tidak tahu. Engkaulah yang mengetahui perkara yang gaib. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahwa perkara ini (..sebut nama urusan tersebut..) baik bagiku dalam urusan agamaku, duniaku dan akhiratku, maka takdirkanlah hal tersebut untukku, mudahkanlah untukku dan berkahilah ia untukku. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahwa perkara tersebut jelek bagi agamaku, duniaku, dan akhiratku, maka palingkanlah ia dariku, dan palingkanlah aku darinya, dan takdirkanlah yang terbaik untukku apapun keadaannya dan jadikanlah aku ridha dengannya.” (HR. Bukhari no. 7390).


Waktu Sesuai Buat Solat Istikharah

Solat sunat istikharah boleh dilakukan bila-bila masa pun, tetapi masa terbaik yang disarankan adalah pada tengah malam, iaitu tepatnya di sepertiga malam. Solat ini jug sangat sesuai untuk didirikan semasa berqiyamulaiail.

Solat sunat ini sering didirikan selama tiga atau tujuh hari berturut-turut, dan kecendurungan sesuatu keputusan itu boleh dirasakan melalui gerak hati, mimpi dan sebagainya.


Waktu Dilarang/Haram Solat Istikharah


Dalam mazhab al-Syafiʻi diharamkan solat pada lima waktu. Tiga daripadanya melibatkan waktu dan dua daripadanya melibatkan perbuatan itu sendiri. Lima waktu tersebut ialah:

  • Dari terbit matahari sehingga tegak dengan kadar tombak dengan pandangan mata iaitu bersamaan 16 minit.(dalam tempoh 16 minit setelah matahari terbit)
  • Dari istiwa (pembahagi dua) matahari sehingga zawal (gelincir).Tempohnya terlalu singkat, diharamkan solat ketika ini.
  • Dari langit kelihatan kekuning-kuningan sehingga maghrib.
  • Selepas melaksanakan solat subuh sehingga terbit matahari.
  • Selepas melaksanakan solat asar sehingga terbenam matahari.

Fadhilat dan Kelebihan Mengerjakan Solat Istikharah Dalam Kehidupan Seharian


Berkenaan dengan solat istikharah, ia adalah di antara sunnah yang diajarkan oleh Nabi saw. Ini berdasarkan satu riwayat daripada Jabir Bin Abdullah :

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَلِّمُنَا الاِسْتِخَارَةَ فِي الأُمُورِ كُلِّهَا كَمَا يُعَلِّمُنَا السُّورَةَ مِنَ القُرْآنِ ، يَقُولُ : إِذَا هَمَّ أَحَدُكُمْ بِالأَمْرِ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ مِنْ غَيْرِ الفَرِيضَةِ ، ثُمَّ لِيَقُلْ : اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ ، وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ ، وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ العَظِيمِ ، فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلاَ أَقْدِرُ ، وَتَعْلَمُ وَلاَ أَعْلَمُ ، وَأَنْتَ عَلاَّمُ الغُيُوبِ ، اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ خَيْرٌ لِي فِي دِينِي وَمَعِيشَتِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي ، أَوْ قَالَ : فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ ، فَيَسِّرْهُ لِي ، ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ ، وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ شَرٌّ لِي فِي دِينِي وَمَعِيشَتِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي ، أَوْ قَالَ : فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ ، فَاصْرِفْهُ عَنِّي ، وَاصْرِفْنِي عَنْهُ ، وَاقْدُرْ لِي الخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ، ثُمَّ أَرْضِنِي بِهِ ، قَالَ : وَيُسَمِّي حَاجَتَهُ.


Maksudnya :
” Rasulullah saw pernah mengajarkan kami tentang memohon pilihan bagi semua perkara (istikharah) sepertimana Baginda mengajarakan kami surah daripada al-Quran. Baginda bersabda : Jika salah seorang dari kalian gusar tentang satu perkara maka rukuklah dua rakaat selain dari yang fardu. Kemudian katakanlah : Ya Allah, aku memohon pilihan dengan ilmu-Mu, aku memohon kekuatan dengan kekuatan-Mu, Aku juga memohon daripada limpahan-Mu yang Agung. Engkau mampu sedangkan aku tidak. Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak tahu. Engkau Maha Tahu tentang perkara yang ghaib. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini baik untuk untuk agamaku, kehidupanku dan penghujungku. Ataupun Nabi bersabda : sama ada perkara yang segera atau yang lambat. Maka permudahkanlah urusanku dan berkatilah aku dalam urusan tersebut. Jika Engkau tahu bahawa perkara ini buruk bagiku pada agamaku, kehidupanku dan penghujung hidupku. Ataupun Baginda bersabda : sama ada yang segera atau yang lambat. Maka, jauhkanlah ia dariku dan jauhkan aku darinya. Dan tentukan bagiku yang terbaik kemudian redhailah aku dengannnya. Kemudian Baginda bersabda : Orang itu (boleh) menyatakan hajatnya.”

Riwayat al-Tirmizi (480),Ibnu Majah (1383).Imam al-Tirmizi menyatakan bahawa hadis ini bertaraf hasan sohih ghorib.

Kesimpulan

Mengerjakan solat istikharah kerana Allah merupakan salah satu cara hidup yang terbaik iaitu dalam apa jua yang kita lakukan seharian kita meminta petunjuk daripada Nya. Allah yang maha mengetahui, berkuasa dan lebih berhak menentukan apakah yang terbaik buat hamba Nya. Dengan Solat Istikharah, kita sebenarnya redha dan jelas bahawa bukan makhluk yang membuat keputusan terbaik, namun Allah. Inilah yang disampaikan dan ianya adalah satu sunnah yang diajarkan oleh Nabi saw kepada umatnya.

Lakukanlah Solat Istikharah setiap hari agar perjalanan hidup kita di dunia adalah semata-mata kerana untuk mendapat keredhaan Nya dan bukanlah kerana nafsu dan akal pemikiran kita. 

Begitu juga dianjurkan untuk berdoa setiap kali selepas beristikharah. Semoga Allah sentiasa memberi kita semua petunjuk, hidayah dan redha akan hidup kita di dunia serta akhirat.

Related Post

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama