Perlahan Itu Juga Perjalanan

Ada fasa dalam hidup, kita dikelilingi oleh terlalu banyak suara kebaikan.

Ceramah, perkongsian, nasihat — semuanya baik.

Namun entah kenapa, bila terlalu banyak, hati jadi letih. Bukan menolak, cuma penat untuk menyerap.

Sejak kebelakangan ini, saya perasan saya semakin jarang masuk ke ruang-ruang perkongsian ilmu. Bukan kerana tidak suka, bukan juga kerana menjauh. Cuma hati ini memilih untuk diam seketika. Memerhati. Menghadam.

Jika diberi buku atau ceramah, saya lebih rela memilih membaca.

Itu pun perlahan.

Sangat perlahan.

Dan dalam perlahan itu, datang rasa bersalah.

Adakah aku makin jauh?

Adakah aku makin malas?

Atau sebenarnya aku cuma sedang melalui fasa yang berbeza?


Sedangkan Allah berfirman:

“Maka berlumba-lumbalah kamu dalam melakukan kebaikan.”

(Surah al-Baqarah: 148)

Ayat ini sering membuatkan kita berfikir bahawa kita perlu sentiasa laju, sentiasa ke depan, sentiasa lebih daripada orang lain. Tetapi bila direnung bersama ayat lain, barulah saya sedar — lumba yang Allah maksudkan bukan tentang kelajuan, tetapi tentang kejujuran usaha.

Kerana Allah juga berfirman:

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”

(Surah al-Baqarah: 286)

Maka bagaimana mungkin Allah menuntut semua orang bergerak dengan langkah yang sama, sedangkan kemampuan setiap jiwa itu berbeza?


Ada orang berlari.

Ada orang berjalan.

Dan ada orang seperti saya — mengengsot perlahan, sambil memegang harapan.

Namun kami semua masih menuju arah yang sama.

Dalam fasa ini juga, saya sedar mengapa saya membaca perlahan.

Kerana saya tidak lagi mahu sekadar tahu, tetapi mahu faham.

Tidak sekadar dengar, tetapi mahu ayat itu tinggal di hati.


Allah bertanya dalam al-Quran:

“Maka tidakkah mereka mentadabburkan al-Quran?”

(Surah an-Nisa’: 82)


Dan tadabbur itu memang tidak pernah laju.

Ia perlahan.

Ia senyap.

Ia kadang-kadang membuat kita berhenti lama pada satu ayat sahaja.

Setiap hari, saya tetap bangun dengan niat yang sama — mahu menjadi lebih baik daripada semalam. Walaupun pada akhirnya, sering juga saya tertanya-tanya, apa sebenarnya yang aku buat hari ini?

Namun dalam kekaburan itu, Allah memberi satu lagi janji:

“Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh mencari keredaan Kami, pasti Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami.”

(Surah al-‘Ankabut: 69)

Allah tidak menyebut mereka yang sudah sampai,

tetapi mereka yang bersungguh-sungguh mencari.

Dan mungkin saya sedang berada di situ —

masih mencari, masih mencuba, masih berharap.


Langkah ini bukan berlari.

Bukan juga merangkak.

Kadang-kadang terasa seperti mengengsot.

Namun Allah tetap berfirman:

“Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan.”

(Surah al-Baqarah: 283)


Allah tahu perlahan ini.

Allah tahu letih ini.

Allah tahu niat yang tersembunyi di balik langkah kecil ini.

Maka harapan saya hanya satu:

Ya Allah, terimalah amal ini walau ia kecil,

walau langkahnya tidak laju,

kerana hati ini masih menuju kepada-Mu.


Jika hari ini kita belum berlari,

asal kita tidak berhenti —

perlahan itu juga perjalanan.

Catat Ulasan

0 Ulasan