Bekerja Dari Rumah - Konsep Terbaik Untuk Wanita



Oleh Roslah OthmanJIKA diimbas kembali wanita pada suatu ketika dahulu merupakan suri rumah yang memainkan peranan tradisi sebagai ibu dan isteri dalam sesebuah keluarga.

Dengan perubahan masa dan arus pemodenan, wanita telah menceburi dunia kerjaya, bersama-sama kaum lelaki berjuang untuk membangunkan negara.

Pergolakan dunia kerjaya memberi imej dan penampilan positif bagi wanita, tetapi pada masa yang sama mereka mengalami cabaran dan masalah yang begitu hebat.

Wanita terpaksa memikul beban yang berat, melaksanakan tugas-tugas kekeluargaan serentak dengan tugas kerjaya, menyebabkan sesetengahnya berada dalam konflik yang menyulitkan.

Malah imej wanita berubah bagaikan `Super Women' yang ingin melaksanakan segala-galanya dengan cemerlang, tetapi menghadapi tekanan untuk melaksanakannya.

Naib Yang Dipertua II, Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita), Prof. Datin Dr. Rohaty Mohd. Majzub berkata, antara tekanan yang dihadapi oleh wanita ini ialah mendapatkan kualiti masa untuk keluarga, kerja dan diri sendiri.

Malah katanya, ada ahli sosiologi yang mengaitkan penglibatan wanita dalam kerjaya sebagai faktor dominan tergugatnya rumah tangga, lemahnya sistem keluarga dan meningkatnya masalah sosial.

``Apa yang membanggakan wanita hari ini tetap dengan semangat gigih memikul tanggungjawab sebagai pekerja, isteri dan ibu. Urusan penjagaan anak diserahkan kepada pembantu atau pusat penjagaan kanak-kanak.

``Namun tidak kurang juga yang memilih untuk berhenti kerja dan mengorbankan cita-cita dan minat semata-mata mahu menumpukan perhatian kepada keluarga walaupun berkelulusan tinggi dan mempunyai kemahiran,'' ujarnya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Bekerja Dari Rumah Satu Alternatif Kreatif pada seminar Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan Bekerja Dari Rumah, baru -baru ini.

Seminar anjuran PUSPANITA yang diadakan di Pusat Pameran The Mines, Sri Kembangan, Selangor itu, antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada ahli Puspanita mengenai kerja-kerja dari rumah yang boleh mendatangkan pendapatan, serta penggunaan ICT dalam kerja harian mereka.

Menurut Rohaty, dengan dunia ICT yang serba canggih timbul satu suasana di mana wanita boleh dihubungi dan menghubungi dengan berkesan melalui emel, internet, laman web dan sebagainya.

``Mekanisme seperti ini memberi alternatif dan masa bagi kaum wanita untuk meneruskan kerjaya di rumah.

``Secara tidak langsung mereka akan memupuk potensi mereka sendiri di rumah atau Home Base versus Office Based,'' katanya.

Bagaimanapun kata beliau, alternatif bekerja dari rumah (BDR) bukanlah satu konsep yang baru kerana telah diamalkan di beberapa buah negara barat.

Malah katanya, konsep BDR telah menarik beberapa pihak merancang dan melaksanakan beberapa program berorientasikan BDR di Malaysia.

Beliau menarik perhatian, beberapa tokoh termasuk Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil turut memperjuangkan konsep SOHO (Small Office-Home Office), di mana pekerja tidak perlu menghadirkan diri di pejabat.

Ini terutamanya dalam bidang-bidang berkaitan ICT dan penulisan.

``Dengan program seperti ini, potensi dan produktiviti wanita juga tidak akan tergugat dan pada masa yang sama keharmonian keluarga terjamin.

``Ini secara tidak langsung mendedahkan wanita di negara ini dengan senario positif di mana mereka boleh memaksimunkan potensi bekerja di rumah jika peluang dan keadaan mengizinkan,'' katanya.

Malah katanya, ia turut menyediakan satu alternatif bekerja yang kreatif bagi wanita, di samping memaksimunkan potensi wanita yang memiliki keterampilan unik dan cemerlang.

Kaedah ini juga memberi peluang kepada wanita mencapai kepuasan bekerja dari rumah dan pada masa yang sama dapat mengimbangi tugas-tugas rasmi dengan keluarga.

Dalam kertas kerja yang disediakan bersama Datin Mardiah Mohd. Zin, Datin Paduka Shahareem Hanom Dadameah dan Datin Zaleha Jamaludin itu, beliau turut mengariskan beberapa manfaat wanita bekerja dari rumah.

Antaranya, wanita akan lebih merasai dihargai dari segi sumbangan mereka kepada negara, kreativiti dan produktiviti lebih meningkat kerana memiliki motivasi dalaman, serta akan mengurangkan jumlah wanita yang mempunyai kemahiran dan kelulusan tetapi terpaksa berhenti kerja.

Bagaimanapun katanya, pelaksanaan sistem bekerja dari rumah hanya boleh dicapai dengan jayanya jika pelbagai faktor diambil kira. Ini termasuklah dari sudut keyakinan, proaktif, kreatif dan wawasan individu yang terbabit.

Malah kerjasama majikan dengan menyediakan suri rumah yang ingin bekerja dari rumah dengan sistem komunikasi komputer yang canggih turut mempengaruhi kejayaan BDR.
``Pada aras mikro juga individu itu juga perlu dibekalkan dengan latihan-latihan yang boleh meningkatkan profesionalisme bekerja, kualiti dan produktiviti.

``Ini termasuklah dari segi pengurusan masa, pembinaan jaringan, komunikasi, pengaturcaraan komputer, juga pengurusan stress,'' ujarnya.
Sumber Dari Utusan Online

Catat Ulasan

0 Ulasan