Apple Cider Vinegar: Betul Ke Boleh Kurangkan Craving Manis?

“Saya ingatkan overhype sangat apple cider vinegar ni. Rupanya ada sebab ramai suka minum.”

Alhamdulillah sekarang dah masuk minggu ke-3 #HDM45Days. Ya Allah, terasa jauh lagi perjalanan 45 hari ni, saya bermula pada 4 Mei dan akan graduate (haha) pada 17 Jun 2026.

Insya Allah nanti saya kongsikan apa sebenarnya HDM diet yang saya tengah jalani ni, apa terjadi dalam masa 3 minggu bersama HDM. 

Sepanjang sudah hampir 3 minggu cuba kurangkan manis ni, antara minuman yang paling saya kerap minum ialah air apple cider vinegar ais. Ini sebenarnya antara syarat yang Coach Iffat Salleh tetapkan. 

Air apple cider vinegar ais sebagai minuman harian semasa #HDM45Days

Beliau telahpun menyediakan menu yang lengkap untuk kami semua follow selama 45 hari secara berfasa, ada 4 fasa kesemuanya. Saya sendiri sekarang di fasa kedua, minggu kedua. Habis minggu ni, saya akan masuk fasa ketiga pula.

Apple cider vinegar (ACV) tidaklah sesedap macam air cafe, jangan overclaim sangat. Sejujurnya sebelum membeli, saya tengok juga video-video sharing tentang minum ACV ni, bukan main macam sedap sangat aje tau. Pertama kali saya mencuba, tekak saya perit, rasanya masam mencucuk disebabkan asid kan? Cuka la katakan, tetapi bila dah biasa, rasa masam dia jadi lebih menyegarkan. Tambah pula dengan ais sejuk-sejuk, memang lega tekak.

Saya tak lebihkan ACV, saya cuma lebihkan air masak sahaja. Itu pun dah mencukupi. 

Cara Minum Cuka Epal Yang Saya Amalkan

Jadi, macam mana cara nak minum Apple Cider Vinegar (ACV) ni? Cara saya buat sangat simple:

  • 1 sudu teh apple cider vinegar
  • 300–500ml air kosong
  • Letak ais

Siap.

Paling penting, saya minum menggunakan straw kerana apple cider vinegar bersifat berasid dan boleh menjejaskan enamel gigi jika terkena terus pada gigi secara kerap.

Cara minum apple cider vinegar dengan air kosong dan ais
Siap pakai sudu ukur lagi, 1 teaspoon. Saya nak agak-agak ni memang tak yakin, teringat ada sudu ni, haa setiap hari saya gunakan. Air tak kisah nak letak penuh ke, separuh ke, ok je insya Allah

Apa Itu Apple Cider Vinegar (ACV)?

Apple cider vinegar atau cuka epal ialah cuka yang dihasilkan daripada sari epal yang diperam melalui proses fermentasi.

Ia mengandungi asid asetik (acetic acid), iaitu bahan utama yang sering dikaitkan dengan manfaat kesihatan seperti membantu rasa kenyang lebih lama dan membantu mengawal paras gula dalam darah selepas makan.

Sebab itu ramai yang mengambil apple cider vinegar ketika sedang menjaga pemakanan atau cuba mengurangkan craving terhadap makanan dan minuman manis.

Beza Apple Cider Vinegar dan Apple Vinegar

Saya pun baru tahu sebenarnya ada beza antara apple cider vinegar dan apple vinegar biasa.

Apple cider vinegar biasanya dibuat daripada sari epal yang diperam dan kebanyakannya mengandungi “mother”, iaitu bahan semula jadi hasil proses fermentasi. 

Apple vinegar pula ada sesetengah produk yang hanya menggunakan perisa epal dan tidak semestinya melalui proses fermentasi yang sama.

Sebab itu ramai lebih memilih apple cider vinegar apabila diamalkan sebagai sebahagian gaya hidup sihat.

Saya beli jenama seperti dalam gambar, anda juga boleh beli juga, saya dah survey kat kedai ni antara yang jual ACV dengan harga yang berpatutan.

Beli ACV di sini: 

Khasiat Apple Cider Vinegar Dari Sudut Kesihatan

Saya buat bacaan juga, nak tahu kenapa coach perlukan kami sediakan ACV ni sebagai menu minuman harian. Rupanya, beberapa kajian kecil menunjukkan apple cider vinegar mungkin membantu:

  • Memberi rasa kenyang lebih lama
  • Membantu mengawal paras gula dalam darah selepas makan
  • Mengurangkan keinginan terhadap makanan atau minuman manis
  • Membantu sesetengah individu dalam penjagaan berat badan

Namun begitu, penting juga untuk tahu bahawa apple cider vinegar bukan minuman ajaib untuk kurus.

Kesan dia tetap kecil jika tidak disertakan dengan pemakanan yang baik, tidur yang cukup dan gaya hidup yang lebih sihat secara keseluruhan. 

Saya juga buat senaman di rumah tahu, jadi jika ada orang kata minum ACV perut terus kempis, malah boleh kuruskan badan. Tipulah tu, bukan senang nak kurus. Semuanya perlukan usaha dari segi penjagaan makanan, nafsu makan serta workout yang sesuai dengan badan anda.

Kebaikan dan Keburukan Cuka Epal

Bagi saya, apple cider vinegar lebih membantu sebagai alternatif minuman tanpa manisan dan membantu saya biasakan diri minum lebih banyak air kosong.

Saya memang tidak suka minum air masak, jadi jika nak saya habiskan 1 liter air, maka trick saya sekarang adalah dengan meletakkan 1 sudu teh cuka epal (pati) ini ke dalam 1 liter air masak dan mestilah disertakan dengan ais!

Air apple cider vinegar ais yang saya amalkan semasa cuba kurangkan pengambilan manis.
Saya tak mampu nak minum 3 liter sehari, dapat habiskan 1 botol air ni (1200ml) pun jadilah. Dan saya letakkan cuma 1 sudu teh apple cider vinegar.

Tetapi ia juga perlu diambil secara sederhana kerana sifatnya yang berasid.

Antara kesan yang perlu diberi perhatian:

  • Boleh menyebabkan ketidakselesaan perut bagi sesetengah individu (alhamdulillah, walau saya ada gastrik dan asid reflux, serasi perut saya dengan ACV ni setiap hari)
  • Tidak sesuai diminum terlalu pekat (jangan ambil sampai 2 sudu besar ye, 1 sudu teh sudah cukup)
  • Boleh menjejaskan enamel gigi jika diambil secara berlebihan tanpa penjagaan yang betul (ya, oleh itu pastikan jangan diminum secara direct, jaga gigi anda!)

Bagi yang mempunyai gastrik, masalah perut sensitif atau sedang mengambil ubat tertentu, elok ambil secara sederhana dan lihat kesesuaian badan masing-masing.

Bagi saya, ini cuma salah satu ikhtiar kecil untuk belajar kurangkan air manis dan bina gaya hidup yang lebih sihat secara perlahan-lahan.

Tidak salah kita mencuba, perhatikan jika ada kesan terhadap badan terutamanya perut anda. 

Syukur alhamdulillah, sudah minggu ketiga tanpa gula dan tepung. Doakan saya berjaya mengharungi 45 hari HDM serta menjadikan gaya hidup baru dengan mengurangkan gula sebagai cara hidup yang lebih sihat.

Jadi, betul ke apple cider vinegar boleh kurangkan craving manis?

Bagi pengalaman saya sendiri, ya… sedikit sebanyak memang membantu ditambah dengan kopi butter (nanti saya share next entri)

Bukan terus hilang craving 100%, tetapi bila konsisten minum air apple cider vinegar ni, saya rasa kurang mencari air manis sepanjang hari.

Mungkin sebab rasa masam dia buat tekak lebih “puas”, atau mungkin juga sebab saya mula biasakan diri minum air kosong lebih kerap.

Apa pun, saya tak anggap apple cider vinegar ni sebagai minuman ajaib untuk kurus. Ia lebih kepada salah satu usaha kecil untuk bantu ubah tabiat pemakanan secara perlahan-lahan.

Dan setakat minggu ke-3 #HDM45Days ni, saya masih boleh konsisten minum tanpa rasa terbeban dan hidup tanpa air manis, makanan manis atau craving nak makan macam-macam.

Slowly, one habit at a time.

Catat Ulasan

0 Ulasan