Penatnya Rutin Hantar Ambil Anak Sekolah, Tetapi Inilah Dunia Seorang Ibu

Petang tadi, saya datang awal mengambil anak balik KAFA, kerana sempat membeli lauk. Kantoi lewat masakkan? Disebabkan awal, saya duduk di meja teduhan yang pihak masjid sediakan sebelah kawasan jemaah wanita. Sambil melihat suasana ruang masjid penuh dengan ibu bapa yang seperti saya juga, saya terfikir… rupanya banyak juga rutin seorang ibu berlaku di dalam kereta.

rutin-driver-anak-anak

Pagi seawal jam 7, saya sudah mula perjalanan hantar anak ke sekolah dan tabika. Tengah hari sambung pula ambil anak. Ada hari sampai beberapa trip keluar masuk rumah. Balik rumah sekejap, sambung keluar lagi.

Sesungguhnya paling saya lemah adalah tengah hari, panas dan terik. Kesian juga dengan anak-anak hingga "terbakar" dibuatnya.

Petang pula rutin KAFA. Tahun ini saya ada seorang anak yang KAFA, darjah 3. Insya Allah, tahun depan Rayyan mula sekolah darjah 1 di sekolah rendah dan KAFA.

Kadang-kadang rasa macam kerja tetap seorang suri rumah ialah driver keluarga.

Bila fikir semula, besar sebenarnya tugas mengurus ulang-alik anak ni. Bukan sekadar memandu, tetapi memastikan jadual anak teratur, anak cukup rehat, cukup makan dan selamat sampai ke destinasi setiap hari.

Cuba bayangkan kalau semua tugasan ini perlu diupah orang.

Hantar dan ambil sekolah pagi.
Ambil anak tabika.
Ulang-alik KAFA.
Tunggu anak habis kelas.
Minyak kereta.
Masa atas jalan.
Penat fizikal dan mental.
Belum campur risiko memandu setiap hari.

Jujur kata, walaupun sekolah rendah dan KAFA di dalam taman, tetapi beberapa kali saya hampir kemalangan!

Kalau ambil servis transporter sekolah sekarang pun, seorang anak boleh cecah sekitar RM80 hingga RM250 sebulan ikut jarak dan kawasan. Tak ingat tahun bila saya bertanya, masa tu seorang anak 1 trip sekolah rendah RM50, jika 2 trip maka RM100 sebulan. Sekarang berapa agaknya?

Sedangkan seorang ibu biasanya urus sendiri beberapa trip sehari dan beberapa orang anak dalam satu masa.

Dalam masa sama, seorang ibu masih perlu fikir macam-macam perkara lain.

Rumah perlu dikemas.
Baju perlu dibasuh.
Dapur perlu berasap.
Anak-anak perlukan perhatian dan emosi mereka juga perlu dijaga.

Belum campur lagi urusan kerja, bisnes, NGO, customer WhatsApp, update media sosial dan tugasan lain yang menunggu untuk diselesaikan.

Kadang-kadang memang terasa penat bila asyik keluar masuk rumah. Jangan kata, nak pergi berjalan bertemu kawan, semua timing kena jaga. hahaa

Tetapi inilah realiti multitasking seorang ibu. Dalam satu hari, boleh bertukar-tukar “jawatan” berkali-kali.

Driver keluarga.
Pengurus jadual anak.
Penjaga anak.
Pengurus rumah.
Tukang masak.
Admin keluarga 

Kalau dikira nilainya, mungkin boleh cecah ribuan ringgit sebulan. Tetapi biasanya seorang ibu tak pernah claim semua itu. 

Kita lakukan kerana kasih sayang dan menghargai jasa suami untuk keluarga. Jika bukan kita yang lakukan sehabis baik, maka siapa lagi?

Jika saya buat keputuan meneruskan kerja sebagai jurutera pada masa lalu, mungkin hubungan dengan anak tidak akrab, mungkin juga saya akan kurang menghargai jasa sang suami terhadap keluarga. 

Mungkin. Tidak pasti. Hanya Allah yang lebih mengetahui.

Walaupun penat, tetap cuba senyum dengan anak-anak. Tetap cuba kuat untuk keluarga. Tetapi dalam masa sama, kita juga perlu belajar untuk berehat bila letih.

Tak perlu paksa diri menjadi sempurna setiap masa. Saya belajar dari kesilapan sendiri, perlu rehat kerana kita bukan robot. 

Rumah tak sentiasa perlu perfect. Sedarlah, kita juga manusia yang ada tenaga dan emosi sendiri.

Buat semampunya, nikmati perjalanan membesarkan anak-anak dan jangan lupa hargai diri sendiri juga.

Catat Ulasan

0 Ulasan