Duit Saving Anak-Anak Perlu Atau Tidak?

Bila memikirkan saya mempunyai empat orang anak, mungkin kita akan mula berfikir tentu banyak nak kena simpan duit untuk mereka. Adakah ia tanggungjawab kita sebagai ibu bapa atau kita tunggu sahaja duit raya barulah kita siapkan tabungan anak-anak?


Ibu saya mempunyai enam orang anak, beliau bekerja tentunya sebagai seorang guru. Setiap bulan beliau memotong secara direct dari gaji beliau untuk simpanan anak-anak. Tidak banyak, hanya RM 10 sebulan, jumlah bagi enam akaun ialah RM 60 sebulan.


Kita rasa kecil jika dibandingkan pada masa kini.


Jujurlah, berapa ramai dikalangan kita ibu bapa sekarang ada buat simpanan hatta RM 5 pun untuk anak-anak? Ada yang terlupa atau tidak terfikirkan langsung. Ada mungkin berhasrat nak potong RM 50 atau ratusan ringgit sebulan tetapi akhirnya ke sudah hanya menunggu duit raya setiap tahun. Mungkin ada yang terpakai juga duit raya anak-anak dan sukar pula untuk diganti.


Saya juga begitu.


Sebelum saya ada duit, tiada kerja. Tiada pendapatan. Rasanya kami pernah terguna duit anak ni, duit raya mereka. Dan pada masa tu, kita juga tiada buat tabungan setiap bulan untuk mereka.


Alangkah bagusnya jika kita sudah mula menabung untuk anak-anak walaupun RM 10, sekurangnya bila mereka sudah 5 tahun sudah ada RM 600 ditambah dengan duit-duit yang mereka dapat setiap tahun ketika raya mungkin sudah jadi ribuan kan?


Dan duit inilah duit yang akan digunakan oleh mereka bila masa terdesak, atau pembelajaran mereka.


Bagi saya walaupun bukan satu kewajiban untuk kita sebagai ibu bapa menabung untuk anak-anak, tetapi jika bukan kita siapa lagi? Jika kita mampu untuk mengasingkan sejumlah wang dari hasil pendapatan kita untuk anak-anak insha Allah, Allah akan berikan lebih banyak kemudahan setiap urusan kita sebagai ibu bapa.


Memandangkan saya tidak mempunyai pekerjaan tetap namun syukur saya cuba sedaya upaya untuk istiqomah mengasingkan duit untuk anak-anak setiap bulan. Jika ada lebih, saya lebihkan jika tidak saya akan masukkan minimum bulanan yang saya tetapkan sendiri.


Anda boleh mula membuka akaun anak-anak sebaik sahaja mereka dilahirkan. Buat masa ni, saya hanya membuka akaun Tabung Haji sahaja untuk mereka.


Satu lagi yang anda harus tahu, jika berlaku kematian anak-anak, duit ini akan dapat kepada bapanya dan bukan ibu walaupun anda seorang ibu yang menabung untuk anak-anak. Tujuan saya beritahu bukan untuk anda berselisih dengan suami, tetapi sekurang-kurangnya anda tidaklah terkejut jika esok anda bersusah payah untuk anak tetapi suami pula yang dapat. Jadi, bincanglah dengan suami kalian dan cakaplah dengan baik-baik.


Saya tahu biasanya ibu yang lebih banyak menabung berbanding si ayah.


Jangan pula dijadikan alasan ini untuk kita berhenti menabung untuk anak atau terus berhenti memikirkan tabungan anak di masa hadapan.


Selamat menabung wahai ibu bapa sekalian!

0 Comments