Pagi Ahad yang Sibuk: Zoom, TOTIQ dan Makan Tengah Hari

Ahad biasanya saya habiskan dengan urusan rumah.

Mengemas apa yang perlu, menyusun tugasan yang tertangguh dan memikirkan menu untuk makan tengah hari. Pendek kata, Ahad selalunya adalah hari untuk keluarga dan rumah.

Namun Ahad kali ini agak berbeza.

Seawal 6.45 pagi saya sudah berada di hadapan laptop untuk mengambil alih tugasan teknikal bagi program Jom Lipat Kain, Jana Pendapatan! anjuran Persatuan Suri Rumah Rahmah (SRR).

Walaupun sebelum ini saya pernah membantu sebagai co-host untuk beberapa program, kali ini saya diberikan tanggungjawab mengendalikan Zoom bagi program yang dijalankan secara hybrid melibatkan peserta fizikal dan peserta dalam talian.


Persediaan sebenarnya telah dibuat lebih awal melalui sesi rehearsal yang dijalankan sehari sebelumnya. Banyak perkara telah disemak dan diselaraskan supaya program dapat berjalan dengan lancar pada hari kejadian.

Namun seperti biasa, dunia teknikal tidak pernah lari daripada cabaran.

Sepanjang program berlangsung terdapat beberapa isu berkaitan audio yang kadangkala tenggelam timbul. Mujur pasukan di lokasi sangat berpengalaman dalam menguruskan program dan segala perkara dapat diselesaikan dengan baik.

Yang penting, peserta online masih dapat melihat dengan jelas demonstrasi yang dijalankan dan mendengar penerangan yang dikongsikan oleh founder serta pasukan yang terlibat.


Dalam kesibukan memantau Zoom, saya sempat juga menyiapkan satu projek lain yang sudah lama bermain dalam fikiran saya, iaitu HUB atau Panduan Peserta TOTIQ Batch 5.

Menariknya, idea untuk membina HUB ini sebenarnya bukan muncul secara tiba-tiba.

Sebelum ini semasa membantu menguruskan beberapa kempen dan program di Amal Till Jannah (ATJ), saya sering berhadapan dengan situasi yang sama. Banyak pautan penting seperti borang pendaftaran, pautan pembayaran ToyyibPay, dan bahan rujukan perlu dikongsikan kepada peserta.

Masalahnya, saya sendiri kadangkala terlupa pautan yang digunakan.

Apabila ingin merujuk semula, saya perlu mencari dalam pelbagai kumpulan WhatsApp atau sejarah perbualan yang panjang. Ada kalanya pautan sudah pernah dikongsikan tetapi sukar ditemui semula kerana tenggelam dalam ratusan mesej lain.

Sedangkan kami sebenarnya sudah mempunyai laman web sendiri.

Dari situ saya mula berfikir, mengapa perlu bergantung kepada platform lain semata-mata untuk mengumpulkan pautan? Jika sudah mempunyai laman web, bukankah lebih mudah menggunakan platform yang kita miliki sendiri?

Selain menyenaraikan pautan, laman web juga membolehkan lebih banyak maklumat disusun dengan kemas, dikemaskini pada bila-bila masa dan dikembangkan mengikut keperluan program. Setuju?

Atas sebab itu, saya mengambil pendekatan yang sama untuk TOTIQ Batch 5 dengan membangunkan sebuah minisite HUB atau Panduan Peserta.

Sebahagian maklumat akan dipaparkan terus di dalam laman tersebut seperti soalan lazim (FAQ), panduan peserta dan maklumat penting program. Sebahagian lagi akan disambungkan kepada pautan luar seperti Google Drive, kumpulan WhatsApp, borang serta sumber rujukan lain.

Matlamatnya mudah.

Apabila peserta bertanya, "Apa linknya?", mereka hanya perlu membuka satu laman yang mengumpulkan semua maklumat penting di satu tempat.


Apabila melihat semula perjalanan pagi itu, saya tersenyum sendiri, jarang-jarang saya buat kerja freelance pada hari Ahad khususnya. Hari Ahad ibarat hari cuti juga untuk saya seorang suri rumah.

Dan bayangkan, hanya dalam tempoh beberapa jam, saya berada dalam tiga dunia yang berbeza.

Sebagai host teknikal untuk program komuniti.

Sebagai sukarelawan yang sedang menyiapkan panduan peserta TOTIQ Batch 5.

Dan sebagai suri rumah yang perlu memastikan makan tengah hari tersedia untuk keluarga.

Akhirnya, selepas program tamat dan tugasan pagi selesai, saya ambil kesempatan itu untuk memasak tengah hari lebih awal daripada kebiasaan. Once rakan sepasukan sudah mulakan program, maka tugas saya sudah tidak begitu kritikal, jadi kesempatan masa yang ada harus dilakukan dengan baik.

Jangan risau, kedua-dua laptop dan handphone berada di sisi walaupun sedang memasak. Saya perlu alert program yang sedang berjalan dan apa yang dilakukan oleh rakan sepasukan dan melihat soalan, komen daripada peserta online.

Kadang-kadang orang nampak seorang suri rumah berada di rumah.

Tetapi di sebalik itu ada pelbagai peranan yang dimainkan dalam satu masa. Ada hari yang tenang, ada hari yang sibuk, dan ada hari seperti hari ini yang dipenuhi dengan Zoom, website, komuniti dan makan tengah hari.

Alhamdulillah, semuanya selesai dengan baik.

Dan yang lebih penting, saya berpeluang belajar sesuatu yang baharu sekali lagi.

Catat Ulasan

0 Ulasan