Boleh Ke Pembahagiaan Faraid Sama Rata Jika Waris Kanak-Kanak (Bawah Umur)?

Soalan: Assalamualaikum, boleh ke pembahagiaan faraid sama rata jika waris kanak-kanak (bawah umur)?

Oleh : Fadzli Rozali 

tugas dan peranana wasi atau pentadbir harta



Jawapan: 

Seperti yang kita tahu, membahagikan harta pusaka secara Faraid adalah wajib. Akan tetapi tidak wajib untuk waris-waris menerima harta tersebut secara Faraid.

Di dalam ilmu faraid , ada bab yang dinamakan Takharruj di mana waris-waris yang ada hak boleh saja untuk melepaskan hak nya kepada waris lain sama ada seluruh hak, separuh atau dilepaskan sedikit hak supaya semua boleh dapat pembahagiaan faraid sama rata. 

Tetapi bagaimana pula bagi waris-waris faraid anak bawah umur? Bolehkah mereka melepaskan hak faraid mereka kepada orang lain termasuk kepada ibu/bapa sendiri? 

Secara asasnya tidak boleh kerana kanak-kanak adalah termasuk dalam golongan yang tidak boleh menguruskan dan berbuat keputusan ke atas harta.

Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:

وَلَا تُؤْتُوا السُّفَهَآءَ اَمْوَا لَـكُمُ الَّتِيْ جَعَلَ اللّٰهُ لَـكُمْ قِيٰمًا وَّا رْزُقُوْهُمْ فِيْهَا وَا كْسُوْهُمْ وَقُوْلُوْا لَهُمْ قَوْلًا مَّعْرُوْفًا
wa laa tu-tus-sufahaaa-a amwaalakumullatii ja'alallohu lakum qiyaamaw warzuquuhum fiihaa waksuuhum wa quuluu lahum qoulam ma'ruufaa

"Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu; dan berilah mereka belanja dan pakaian dari pendapatan hartanya (yang kamu niagakan), dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik."
(QS. An-Nisa' 4: Ayat 5)

Apatah lagi jika pelepasan Hak kepada waris lain itu menyebabkan Hak kanak-kanak semakin berkurang. Kita tidak mahu mengambil hak kanak-kanak ini apatah lagi jika mereka ialah di kalangan anak yatim. 

Anak yatim memberi maksud kanak-kanak yang masih belum baligh dan kemudiannya kehilangan atau kematian salah satu dari ibu atau bapanya. Sedikit berbeza dengan yatim piatu yang bermaksud kanak-kanak yang masih belum baligh dan kemudiannya kehilangan atau kematian kedua-dua ibu dan bapanya.

BERAT HUKUMANNYA DI SISI ALLAH SWT BAGI MEREKA YANG MEMAKAN HARTA ANAK YATIM

Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:

وَاٰ تُوا الْيَتٰمٰۤى اَمْوَا لَهُمْ وَلَا تَتَبَدَّلُوا الْخَبِيْثَ بِا لطَّيِّبِ ۖ وَلَا تَأْكُلُوْۤا اَمْوَا لَهُمْ اِلٰۤى اَمْوَا لِكُمْ ۗ اِنَّهٗ كَا نَ حُوْبًا كَبِيْرًا‏
wa aatul-yataamaaa amwaalahum wa laa tatabaddalul-khobiisa bith-thoyyibi wa laa ta-kuluuu amwaalahum ilaaa amwaalikum, innahuu kaana huubang kabiiroo

"Dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang telah baligh) itu harta mereka, dan janganlah kamu tukar-gantikan yang baik dengan yang buruk; dan janganlah kamu makan harta mereka (dengan menghimpunkannya) dengan harta kamu; kerana sesungguhnya (yang demikian) itu adalah dosa yang besar."
(QS. An-Nisa' 4: Ayat 2)

Akan tetapi, jika pelepasan hak dari waris lain yang menyebabkan hak faraid kanak-kanak tersebut bertambah, ia dibenarkan. 

𝗖𝗢𝗡𝗧𝗢𝗛 𝟭; 

Si mati Seorang lelaki meninggalkan waris 3 Anak Perempuan dan 1 anak lelaki. Anak-anak perempuan semuanya SUDAH BALIGH manakala anak lelaki masih BAWAH UMUR. 

Jika diikutkan hak faraid setiap anak, bahagian masing-masing ialah:

Setiap Anak perempuan dapat : 1/5 bahagian seorang
Anak lelaki dapat : 2/5 bahagian 

Dalam situasi ini, TIDAK BOLEH anak-anak perempuan yg baligh tadi untuk minta bahagi sama rata setiap seorang kerana jika pembagiaan faraid sama rata , setiap anak dapat 1/4 bahagian dari harta pusaka. 

Ini kerana bahagian anak lelaki yang bawah umur tadi sudah berkurang dari 2/5 bahagian kepada 1/4 .


𝗖𝗢𝗡𝗧𝗢𝗛 𝟮:

Si mati Seorang lelaki meninggalkan waris 3 Anak Lelaki dan 1 Anak Perempuan. Anak-anak Lelaki semuanya sudah baligh manakala anak perempuan tunggal masih bawah umur. 

Jika diikutkan hak faraid setiap anak, bahagian masing-masing ialah:

Setiap Anak lelaki dapat : 2/7 bahagian seorang
Anak Perempuan dapat : 1/7 bahagian

Dalam situasi ini, BOLEH saja bagi anak-anak lelaki utk bahagi sama rata dengan semua anak dapat 1/4 bahagian. 

Ini kerana bahagian Anak Perempuan tadi tidak terusik malahan bertambah lagi banyak (1/7 menjadi 1/4) kerana abang-abangnya melepaskan hak mereka yang lebih kepadanya. 

Jadi kepada semua, berhati-hatilah semasa membahagikan harta pusaka sesama waris. 

Jika ada waris yang masih bawah umur, boleh gunakan ilmu yang dikongsikan ini sebelum membuat pembahagian . Kirakan terlebih dahulu kemudian barulah buat keputusan mahu mengikut kiraan Faraid atau tidak, dan adillah kerana Allah itu Maha Mengetahui. 

Semoga kita tidak tergolong di dalam golongan yang memakan harta batil.

Sayyid Tantawi menafsirkan hal ini di dalam kitabnya yang menyatakan bahawa: “Ayat ini bermaksud Allah Subhanahu wataala memerintahkan orang Islam supaya tidak mengambil atau memakan harta saudaranya secara batil begitu juga penggunaannya akan menjerumus kepada kemaksiatan”. (Tafsir Al-Waseet Li Tantawi)

Hadis daripada Amru bin Yathribi, sesungguhnya Nabi Sallallahu alaihi wasallam bersabda:
 
وَلَا يَحِلُّ لِامْرِئٍ مِنْ مَالِ أَخِيهِ إِلَّا مَا طَابَتْ بِهِ نَفْسُهُ

Maksud: “Tidak halal harta seseorang saudaranya melainkan dengan keizinan daripada pemiliknya sendiri.”

(Hadis Riyawat Musnad Imam Ahmad, 15488)

Semoga perkongsian bermanfaat. Mohon like dan sharekan untuk manfaat semua. Untuk mendapatkan konsultasi percuma kiraan faraid anda, bolehlah hubungi saya di talian 010-337 9012.

#tipspusaka 
#ilmufaraid
#warisbawahumur
Share:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan