Duit dalam akaun bank arwah hilang sebelum tuntutan pusaka selesai?

Salam. Arwah suami saya ada meninggalkan simpanan sebanyak 80 ribu dalam bank. Pada 13 September 2021, saya memohon penyata bank untuk mendapatkan surat kuasa tetapi staf bank memberitahu bahawa penyata adalah sulit dan dia cuma menyatakan jumlah baki simpanan ketika itu adalah 80 ribu. Selepas perbicaraan di pejabat tanah pada 3 Februari 2022, hakim mengeluarkan surat untuk saya mendapatkan penyata namun staf bank meminta staf pejabat tanah hadir untuk mendapatkan penyata tersebut. Staf bank ada memberitahu baki akaun ketika itu adalah 50 ribu. Setelah mendapatkan surat kuasa pada Jun 2023, baki yang tercatat adalah 26 ribu. Saya sekali lagi hadir ke bank untuk mendapatkan penyata akaun sebagai bukti untuk membuat laporan polis tetapi pengurus bank enggan memberi penyata. Saya yakin akaun ini telah disalahgunakan. Adakah Ombudsman boleh membantu?




Jawapan:

Kisah Benar Seorang Balu dan Pengurusan Kewangan Selepas Kematian


Salam semua,

Kisah ini adalah kisah benar yang dikongsikan oleh seorang balu. Mari kita pelajari bagaimana kes ini boleh berlaku dan bagaimana cara untuk mengelakkannya daripada berlaku kepada simpanan kita.


Pertama, mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa arwah suami tidak berkongsi pin code atau maklumat internet banking dengan isteri semasa hidupnya. 

Rumahtangga orang lain, kita tidak tahu bagaimana keadaannya. Jadi, siapa kita untuk menilai? Dengan pelbagai isu sekarang, ramai pasangan memilih untuk merahsiakan maklumat internet banking mereka. Jika berkongsi pun, mungkin hanya nombor pin kad, tetapi tidak untuk internet banking. Bagi yang berkongsi semua maklumat tersebut, tahniah kerana kepercayaan anda kepada pasangan sangat tinggi.


Kedua, walaupun berkongsi maklumat tersebut, ingat, bolehkah mengeluarkan wang sesuka hati? Tidak boleh juga, gaiss.

Jika mengeluarkan sedikit demi sedikit, perlu diingat bahawa duit itu bukan hak mutlak balu sahaja. Ianya adalah hak waris faraid. Jika balu mengeluarkan wang, dia perlu amanah dan memaklumkan penggunaan kepada waris.

Jika mengeluarkan dalam jumlah yang besar, transaksi yang mencurigakan juga akan diblok oleh bank. Jadi, lebih baik jika berlaku kematian, buat sahaja laporan di bank supaya tiada transaksi keluar masuk lagi. Jika tidak membuat laporan, dan si balu mengeluarkan wang sesuka hati, keluarga suami boleh membuat laporan pecah amanah. Jadi, pilihlah jalan yang betul.


Ketiga, adakah semua amaun dalam bank memerlukan surat kuasa mentadbir? Jawapannya tidak. Ia bergantung kepada polisi bank tersebut. Contohnya, jika di Bank Rimau, baki akaun di bawah RM 5,000 tidak memerlukan surat kuasa pun. Jika di Bank Sotong, bawah RM 10,000 juga tidak memerlukan surat kuasa mentadbir. Jadi, buatlah semakan dengan bank masing-masing.


Keempat, balu tersebut bercerita mengenai akaun bank yang hilang. Kenapa bicara di Pejabat Tanah? 

Jawapannya, arwah suami beliau mempunyai hartanah (seperti rumah atau tanah) dan jumlah keseluruhan harta arwah berada di bawah RM 2 juta termasuk akaun bank dan kereta, sebab itu balu tersebut mengatakan bicara di Pejabat Tanah. Istilah yang betul adalah Seksyen Pengurusan Pusaka di Pejabat Tanah, atau lebih dikenali sebagai Pejabat Pusaka Kecil.


Kelima, nampak tak di situ kesan kelewatan pengurusan pusaka? Makin lama duit dalam bank, makin banyak pula duit yang hilang. Agak-agak kalau sebulan dua lagi, mungkin tinggal RM 1 sebab itu minimum amaun yang perlu ada dalam bank. Kesian arwah yang ingin meninggalkan duit untuk anak isteri, tetapi scammer pula yang kaya. 


Dah kena scam begini, salah siapa pula? Ini perlu tanya siapa yang melakukannya dan bagaimana ia dilakukan.

Jadi, ada tak solusi untuk kita elak masalah ini daripada berlaku kepada kita? Jawapannya, mestilah ada. Setiap penyakit pasti ada ubat kecuali mati.

Namun, kita tidak mahu memberi solusi dengan berkongsi nombor pin. Dari sudut undang-undang, adalah salah jika si balu mengeluarkan duit arwah senyap-senyap.


Solusi yang boleh diambil ketika pemilik harta masih hidup adalah:


1. Sediakan Tabung Dana Khairat Pusaka untuk uruskan pusaka si mati dengan segera.

Kadang-kadang bila berlaku kematian, pusaka si mati tidak diurus dalam tempoh masa yang lama kerana banyak sebab. Sebab waris tidak tahu, atau sebab waris tidak ada masa. Jadi, jika sudah ada tabung khairat pusaka ini, sekurang-kurangnya ada jaminan untuk urus pusaka si mati dengan segera. Waris tidak perlu bersusah payah dan tidak perlu mengeluarkan kos untuk menguruskan pusaka kita, kerana kita telah menyediakan dana semasa hidup lagi.


2. Sediakan solusi pembahagian akaun bank untuk waris-waris.

Supaya, bila berlaku kematian, tidaklah menyusahkan balu seperti ini. Dokumen solusi tersebut boleh dibawa ke bank untuk pengeluaran selepas selesai proses mendapatkan surat kuasa mentadbir daripada Pejabat Pusaka Kecil atau Mahkamah Tinggi Sivil.


3. Ada tak solusi lain yang tidak perlu menunggu surat kuasa mentadbir untuk aset tunai seperti ini?

Ada. Jika kita risau duit hilang seperti ini, boleh pindahkan simpanan ini daripada akaun bank biasa kepada Tabung Haji atau ASNB. Untuk Tabung Haji dan ASNB, jika telah dibuat penamaan atau hibah, duit boleh terus dikeluarkan oleh penama atau pentadbir tanpa perlu melalui proses perolehan kuasa di Pejabat Pusaka Kecil. Cukup dengan sijil kematian dan bukti bahawa kita adalah penama atau pentadbir bagi akaun tersebut. Jadi, nanti duit tersebut akan dimasukkan ke akaun penama atau pentadbir. Tugas sebagai penama adalah amanah dengan wang tersebut untuk membuat agihan mengikut kaedah faraid atau mengikut hasrat si mati yang telah dilaksanakan semasa hidup.


Harapnya perkongsian ini bermanfaat buat semua. Untuk yang telah meninggal, perkara pun telah berlaku dan susah untuk dipatahkan balik.


Namun, kita yang masih hidup diberikan peluang dan masa untuk membuat perancangan. Mulakan perancangan anda hari ini agar kita tidak meninggalkan beban kepada waris kita pada masa akan datang.


Kredit: Noorasyiqien Ishak

Olahan: Emme Marina

Catat Ulasan

0 Ulasan