Adab Belajar Walau Siapa Pun Kita Panduan dari Al-Qur’an
Dalam dunia hari ini, ramai yang berkongsi ilmu. Ramai juga yang menuntut ilmu. Namun, tak semua hadir dengan adab. Ada yang datang dengan gelaran, ego, rasa cukup tahu. Lalu lupa… bahawa belajar itu ibadah. Menghormati guru itu adalah salah satu adab yang sangat mahal bagi kita seorang murid.
Mari kita kembali kepada Al-Qur’an – sumber utama ilmu dan akhlak.
Ayat Tadabbur: Surah Al-Mujadilah, ayat 11
يَرْفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ آمَنُوا۟ مِنكُمْ وَٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ دَرَجَـٰتٍۗ
“Allah meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.”
(Surah Al-Mujadilah 58:11)
Kata kunci:
- 'ʿilm' (علم) – ilmu
- 'rafaʿa' (رفع) – meninggikan
Tadabbur buat diri sendiri:
Allah tidak hanya sebut orang berilmu itu tinggi darjatnya. Tapi disyaratkan juga iman. Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang dituntut dengan adab, dipandu iman, dan membawa kepada ketaatan.
Kalau belajar tapi tidak bertambah takut kepada Allah, tidak bertambah tunduk kepada kebenaran maka, itu bukan ilmu yang diberi darjat oleh Allah SWT.
Adab Dalam Belajar: Panduan Ulama & Bahasa Arab
Perkataan "adab" berasal dari kata akar
أ-د-ب (ʾa-d-b)
Makna asalnya: beradab, berbudi pekerti, berakhlak mulia, mendisiplinkan diri.
Dalam konteks ilmu, adab bermaksud:
- Tunduk kepada guru
- Merendah diri walaupun sudah tahu
- Tidak memotong cakap atau memperlekeh
- Tidak mencari silap, tetapi mencari manfaat
- Tidak riya’ dalam menuntut atau menyampaikan ilmu
Kisah Ulama: Imam Syafie dan Imam Malik
Imam Syafie rahimahullah iaitu ulama besar yang kita kenali pernah belajar dengan Imam Malik. Sebelum datang, beliau duduk di luar rumah Imam Malik selama berhari-hari hanya untuk menunggu masa sesuai bertanya. Bahkan ketika mendengar Imam Malik mengajar, beliau tidak berani angkat suara.
Adab sebegini bukan kerana dia tidak tahu. Tapi kerana hati yang sedar, “aku sedang berhadapan dengan ilmu yang Allah pinjamkan kepada hamba-Nya.”
Maka bertanya kepada diri kita kembali, walaupun umur kita kadang lebih tua daripada tenaga pengajarnya, walaupun mungkin kita ada PHD dan pengajar kita baru ada DEGREE. Namun kita yang sedang menggali ilmu daripadanya apakah kita sekarang sedang menjadi pengajar atau pelajar?
Mari kita cari ayat lain lagi untuk Tadabbur:
Surah Al-Kahf 18:66 – Kisah Nabi Musa dan Khidr
قَالَ لَهُۥ مُوسَىٰ هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَىٰٓ أَن تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًا
“Musa berkata kepadanya, ‘Bolehkah aku mengikutmu supaya engkau mengajarku ilmu yang benar yang telah diajarkan kepadamu?’”
Apa Tadabbur yang kita dapat dari kisah mereka?
Nabi Musa a.s. sendiri adalah seorang Rasul Ulul Azmi yang sedang merendah diri meminta izin untuk belajar. Padahal beliau lebih tinggi darjatnya dalam kalangan manusia. Tapi adab belajar tetap dijaga.
Nah! Maka kita? Sekali lagi mari kita merenung apakah sikap kita itu sebagai pelajar penuh adab atau bukan?
Penutup: Siapa Kita Tanpa Adab?
Pangkat kita mungkin tinggi. Ilmu kita mungkin luas. Tapi jika adab kita hilang maka berkat ilmu juga akan hilang.
Kata para ulama:
“Ilmu itu cahaya. Dan cahaya tidak akan masuk ke dalam hati yang gelap dengan takabbur.”
Hari ini, jika kita datang ke majlis ilmu, bengkel, atau sesi kelas...
Datanglah sebagai penuntut.
Bukan pengkritik.
Datanglah sebagai hamba Allah.
Bukan sebagai status manusia.
Sekadar pesanan untuk diri sendiri, sentiasa belajar sentiasa pelajar walaupun kini sudah berusia 40 tahun. Subhanallah, terima kasih Allah kerana masih beri saya peluang untuk belajar pelbagai jenis ilmu di dunia ini baik dalam hal agama ataupun duniawi. Semoga kita semua sama-sama jaga adab dengan guru, belajarlah dengan hormat yang tinggi kepada mereka dan jangan sesekali menyusahkan para guru kerana sikap kita.
Sebagaimana kita inginkan anak-anak kita menjadi pelajar yang baik dengan guru mereka di sekolah, tidak mahu anak menjadi anak murid yang menyusahkan, maka kita pun sama juga.
0 Ulasan