Tutorial Buat Blog Blogger 2026 – Panduan Asas & Mudah Untuk Beginner

 Kalau anda sedang baca artikel ini, besar kemungkinan anda mungkin sedang berfikir:

“Aku sebenarnya nak buat blog… tapi tak tahu nak mula dari mana.”

Berita baiknya, pada tahun 2026, buat blog jauh lebih mudah daripada apa yang kita bayangkan. Tak perlu pandai IT, tak perlu faham istilah pelik, dan tak perlu blog yang cantik dulu.

tutorial buat blog blogger 2026

Dalam tutorial ini, saya nak tunjukkan cara buat blog Blogger dari kosong, langkah demi langkah, dengan bahasa yang mudah insya Allah, macam kita duduk berbual sambil buat sama-sama.

Artikel ini fokus kepada cara bina blog dari sudut teknikal asas.
Bagaimana blog itu digunakan dan kandungannya, bergantung kepada tanggungjawab masing-masing serta polisi platform.

Kenapa Ramai Orang Mula Dengan Blogger?

Kalau ini blog pertama anda, Blogger sebenarnya pilihan yang sangat selamat. Blogger merupakan antara platform blog percuma yang masih relevan untuk beginner. Ianya sangat sesuai digunakan oleh sesiapa sahaja yang ingin belajar asas blog tanpa perlu berdepan dengan setting teknikal yang kompleks.

Antara kelebihan Blogger ialah:

  • percuma
  • tak rumit
  • tak perlukan setup teknikal yang berat

Pendek kata, Blogger sesuai untuk orang yang nak mula dulu, bukan orang yang nak terus sempurna.

Ramai orang tersangkut lama bukan sebab Blogger susah, tapi sebab terlalu banyak fikir sebelum mula.

Apa Yang Anda Perlukan Sebelum Buat Blog?

Sebelum memulakan blog, persediaannya sebenarnya sangat minimum.

Cukup ada:

  • satu akaun Google
  • sedikit idea (tak perlu jelas sangat pun)
  • masa lebih kurang setengah jam

Idea tidak perlu terlalu jelas atau sempurna. Blog boleh dikemas kini dan diperbaiki secara berperingkat.

Langkah 1: Daftar Blog Blogger Dari Kosong

Ok, kita mula yang paling asas.

  1. Log masuk ke Blogger guna akaun Google
  2. Pilih untuk cipta blog baharu
  3. Ikut arahan yang Blogger tunjukkan di skrin

Biasanya, bahagian ini siap cepat. Jangan risau kalau rasa kekok — itu normal.

Langkah 2: Pilih Nama & Alamat Blog

Ini bahagian yang buat ramai orang berhenti lama. Pemilihan nama blog sering menjadi halangan utama bagi beginner. Hakikatnya, nama blog tidak perlu unik atau kompleks. Semasa saya belajar buat blog dari Akademi Bekerja dari Rumah, nama blog yang disarankan adalah nama penuh kami, sebagai contoh, nama saya adalah Puteri Emme Marina Mohamad, namun setelah beberapa ketika saya ringkaskan kepada Emme Marina. 

Juga jika anda tidak mahu menggunakan nama sebenar, nama pena juga boleh, atau fokus kepada penulisan blog anda, contohnya; akuseorangsurirumah, pekebunbandar, anda menggunakan tajuk sebagai nama blog. 

Sebenarnya, nama blog:

  • tak perlu unik
  • tak perlu bunyi “power”
  • tak perlu sempurna

Cukup kalau:

  • senang dibaca
  • orang faham apa yang awak nak kongsi

Untuk alamat blog (URL), guna versi percuma Blogger dulu pun sudah memadai. Domain berbayar boleh fikir kemudian, bila blog dah hidup.

versi percuma blogger: www.akuseorangsurirumah.blogspot.com

versi berbayar: www.emmemarina.com (domain ini perlu anda beli, tak mengapa kita akan share tentang domain di entri yang lain)

Langkah 3: Pilih Template Blogger (Cantik Secukupnya)

Mari kita jujur sedikit. Template asal Blogger memang biasa-biasa. Template asal Blogger bersifat asas, dan perkara ini adalah normal.

Dan itu tak salah.

Pada peringkat awal, anda cuma perlu pastikan:

  • blog boleh dibuka elok di telefon (responsive)
  • tulisan senang dibaca
  • susunan kemas

Pilih satu template yang ringkas, dan berhenti di situ dulu. Jangan tukar template berkali-kali, nanti penat sendiri, lagipun bila anda sudah selesa dengan teknikal blog barulah kita akan mula tukar kepada template yang lebih hidup dan sesuai dengan blog anda.

Langkah 4: Sediakan Page Asas Supaya Blog Nampak Hidup

Untuk menjadikan blog kelihatan lebih lengkap dan dipercayai, sediakan sekurang-kurangnya dua page asas:

  1. Tentang Saya
  2. Hubungi

Kenapa ini penting?
Sebab bila orang buka blog anda, mereka nak tahu:

  • siapa yang menulis
  • kalau perlu, macam mana nak hubungi

Tak perlu ayat panjang. Kita buat ringkas dulu. Page boleh dibuat melalui menu Page di dashboard Blogger.


Langkah 5: Contoh Ayat Mudah Untuk Page

Kalau anda tidak tahu nak tulis apa, ini contoh paling selamat.

Tentang Saya
Blog ini diwujudkan untuk berkongsi maklumat dan pengalaman berkaitan topik tertentu secara ringkas dan mudah difahami oleh pembaca umum.

Hubungi
Sebarang pertanyaan atau maklum balas boleh dihantar melalui emel yang disediakan di blog ini.

Cukup. Tak perlu hiasan dulu. Ayat ringkas sudah memadai untuk peringkat awal.

Langkah 6: Buat Menu Asas Blog Blogger

Bila page dah ada, barulah kita buat menu.

Menu paling minimum:

  • Home
  • Tentang
  • Hubungi

Menu ini buat blog nampak lebih teratur dan senang dibaca. Anda boleh set menu melalui bahagian Layout / Tata Letak dalam Blogger.

Ini dipanggil menu

Layout. Layout setiap template tidak sama, apa yang saya kongsikan ini adalah layout dari theme berbayar

Cukup buat masa ini anda menggunakan template sedia ada, blogger telah sediakan beberapa jenis template yang sesuai untuk beginner. Jika anda dah bersedia untuk template lain, boleh. Saya akan tunjukkan caranya pada entri lain.

Antara theme yang disediakan di dalam blogger, pilih yang "responsive" kerana ia adalah mobile friendly.


Apa Yang Tak Perlu Anda Fikir Lagi Sekarang

Untuk peringkat ini, beberapa perkara berikut tidak perlu diberi keutamaan terlebih dahulu:

  • fikir SEO lanjutan
  • beli domain
  • pasang widget pelik-pelik
  • kejar design cantik

Terlalu awal untuk semua itu. Fokus utama pada peringkat ini ialah mewujudkan blog dan mula menulis.

Blog Tak Perlu Sempurna Untuk Bermula

Blog yang baik bukan blog yang cantik sejak hari pertama.
Blog yang baik ialah blog yang wujud dan digunakan.

Mulakan dengan:

  • satu blog
  • satu template
  • dua page
  • satu entri

Lepas itu, barulah kita kemaskan perlahan-lahan.

Kalau anda dah boleh sampai ke tahap ini, sebenarnya anda sudah pun jauh ke depan daripada ramai orang yang masih “nak mula”. Tahniah, saya ucapkan!

Catat Ulasan

0 Ulasan